Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta kerajaan melihat semula keperluan jabatan kerajaan mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri setiap kali semasa bulan Syawal.
Bernama memetiknya sebagai berkata program jamuan raya yang dianjurkan oleh sesebuah jabatan kerajaan biasanya melibatkan penyertaan sebahagian besar kakitangannya untuk menampakkan kemeriahan.
“Justeru apabila ada rakyat yang datang ke sesebuah jabatan untuk sesuatu urusan mereka terpaksa pulang dengan kehampaan.
“Ini kerana kakitangan di bahagian-bahagian tertentu jabatan itu berada di majlis jamuan hari raya,” katanya pada majlis ceramah mingguannya di Masjid Alwi di Kangar, malam semalam.
Beliau berkata lebih memberi kesan apabila pegawai dan kakitangan sesebuah jabatan kerajaan keluar pejabat untuk menghadiri jamuan hari raya di pejabat lain.
Justeru beliau berharap kerajaan melihat semula perkara itu selaras dengan keperluan semasa kerana tidak semestinya apabila umat Islam berpuasa sebulan mereka harus mengadakan majlis makan selama sebulan juga untuk menyambut hari raya.
