Umat Islam diingatkan mengenai bahaya fitnah yang boleh merosakkan persaudaraan termasuk membentuk permusuhan yang berkekalan hingga mengganggu gugat keamanan negara, menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Al-Quran dan hadis telah lama memperingatkan tentang bahayanya dan beratnya azab perbuatan fitnah.
“Sesungguhnya fitnah itu satu perbuatan keji dan diancam oleh Allah dengan balasan azab yang pedih. Ini berdasarkan nas-nas syarak yang melarang dan mengeji perbuatan menyebar fitnah,” menurut mimbar.
Khutbah itu dikeluarkan di tengah-tengah kehangatan dakwaan menteri ekonomi Azmin Ali terlibat dalam seks sejenis dengan Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Azmin menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya dan menyifatkannya sebagai fitnah dan komplot untuk menjatuhkannya.
Selain itu, mimbar turut mengingatkan supaya umat Islam menggunakan sosial media dengan lebih berhati-hati supaya tidak mengundang perbuatan fitnah sehingga mewujudkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat.
“Di samping perkara-perkara positif, terdapat juga unsur-unsur kemungkaran yang telah timbul, membesar, membiak dan mewabak dalam masyarakat kita melalui media sosial ini.
“Bukan sahaja melibatkan pendedahan aurat di sana sini, membuka keaiban orang lain juga sudah tidak menjadi asing lagi.
“Melemparkan tuduhan, fitnah, saling menyalah antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca perpecahan dan perbalahan ummah yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” menurut teks itu lagi.
Antara kesan bagi penyebar fitnah itu akan mendapat azab Allah dan mereka tidak akan masuk syurga.
Menurut mimbar, Allah hanya akan mengampun dosa penyebar fitnah itu kecuali individu yang difitnah telah memberikan kemaafan.
“Betapa berat kesan penyebaran fitnah itu kerana ianya boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu, tokoh atau kumpulan tertentu,” menurut khutbah itu lagi.
Justeru mimbar mengingatkan umat Islam melakukan perkara yang lebih bermanfaat berpandukan syariah daripada tindakan yang mengundang kemurkaan Allah yang akhirnya membawa musibah kepada negara dan merugikan ummah.
