Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Saya dua kali ke Mesir, sebelum dan selepas revolusi.

Negara yang lebih panas dan sejuk dari tempat kita berdasarkan musim. Negara di mana firaun-firaun memerintah dan mati.

Sejak sekolah menengah, saya mengikuti perkembangan Mesir melebihi negara-negara luar lain. Ini kerana bagi kami pelajar aliran agama, Mesir atau lebih tepat Universiti Al Azhar adalah destinasi seterusnya.

Bahkan sehingga kini, selepas 20 tahun menjadi wartawan, saya lebih memahami berita politik di Mesir daripada di Thailand, misalnya.

Saya mengaku bahawa saya adalah simpatisan Muhammad Morsi, presiden Mesir yang pertama dipilih secara demokratik.

Penulis di Dataran Tahrir

Sebelum tidur, tiga hari sudah, saya terkejut membaca berita Morsi jatuh dan mati di ruang mahkamah, memakai baju penjara berwarna biru, selepas berhujah selama 20 minit di mana dia mendedahkan semua pertuduhan yang pengintip yang dihadapinya adalah rekaan olehnya musuh politik dan pihak pendakwa raya.

Presiden Turki 'Sultan' Erdogan mengatakan dengan jelas bahawa Morsi syahid dan mati dibunuh.

Bekas ketua perkhidmatan rahsia Perancis Bernard Bajolet, dipetik akhbar Kuwait mendakwa kematian Morsi mungkin ada kaitan dengan kehadiran Penasihat Keselamatan UAE Tahnoon Bin Zayed Al Nahyan ke Kaheran baru-baru ini.

Pengarah eksekutif Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, menulis tweet bahawa kematiannya adalah "dahsyat tetapi sudah dijangka".

"Kematian bekas Presiden Morsi selepas bertahun-tahun ditindas kerajaan, dipenjara bersendirian, penjagaan perubatan yang tidak mencukupi, kekurangan lawatan keluarga dan akses kepada peguam," kata Whitston, beberapa jam selepas kematian Morsi.

Akhbar burukkan Ikhwanul Muslimin

Saya membaca akhbar berpengaruh Mesir, Al-Ahram, yang memilih untuk memburukkan Ikhwanul Muslimin dan Morsi sebagai cara mengenang kematian bekas presiden mereka sendiri.

Al-Ahram menulis namanya sebagai Mohamed Morsi El-Ayyat, seolah-olah seorang lelaki biasa telah mati sebab-sebab semula jadi, bukan sebagai bekas presiden yang meninggal ketika berhujah di mahkamah.

Akhbar yang diasaskan tokoh kewartawanan Arab Mohammed Hussein Heikal memang dekat dengan pemerintahan tentera sejak zaman Presiden Gamal Abdul Naseer lagi, tapi rencana editorialnya tidak pernah serendah ini.

Bagi saya, mengenang Morsi adalah mengenang orang biasa yang menjadi luar biasa secara tiba-tiba. Namanya tidak pernah didengar dalam politik Mesir di zaman Hosni Mubarak.

 Beliau bukan pilihan pertama Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhwanul Muslimin tetapi dengan menamakan Morsi, FJP mengaut 12.2 juta undi rakyat Mesir (yang sebetulnya undi protes) menewaskan Ahmed Shafik pencabar setia Hosni Mubarak.

Morsi cuba melakukan yang terbaik, mengimbangi kuasa yang terlalu besar, tapi beliau melakukan banyak salah daripada yang betul.

Kesilapan utama Morsi ketika masa 'bulan madu' adalah terlalu lambat dan lembut. Morsi tidak tegas menangani permusuhan antara tentera, sektor swasta, dan beberapa negara jiran Mesir.

Morsi, yang berlatar belakang seorang ahli akademik, bukan pemimpin politik yang cekap bermuslihat, beliau cuba memenangi hati semua pihak yang bagaimanapun terluka kerana ketidaktegasannya, sehingga menyebabkan pemegang taruh yang membentuk Mesir Baru rindu kembali pemerintahan yang garang dan berkesan.

Temu janji Morsi-Najib

Jika kita mengkaji apa beza perubahan politik di Indonesia dan Mesir, era Seoharto dan Mubarak, dan selepasnya, kejayaan Indonesia melalui BJ Habibie adalah melakukan reform besar-besaran terhadap undang-undang yang menindas.

Lebih 1,000 akta dan seksyen drakonian dihapuskan ketika era reformasi BH Habibie, memang beliau tidak popular, tetapi Presiden Indonesia selepas BJ Habibie sehingga kini menikmati buah dari usaha yang tidak popular itu.

Pertama, sebagai Presiden Mesir Baru, Morsi gagal untuk melakukan perubahan perlembagaan yang selama ini dibentuk untuk mengekalkan hagemoni tentera Mesir.

Kedua kegagalan melakukan pembaharuan ekonomi yang menjamin keadilan sosial, yang telah menjadi rungutan demostran di Dataran Tahrir.

Inflasi dan kemiskinan meningkat, ekonomi bergerak tanpa hala tuju (Morsi melantik dan memecat tiga menteri kewangan dalam satu tahun).

Manakala kerana sifatnya sebagai Presiden Mesir Baru yang demokratik, Morsi membiarkan bantahan dan demonstrasi mengkritik kerajaan yang dipimpinnya.

Setiap minggu, satu berakhir dengan berganti lagi satu demontrasi anti kerajaan.

Dari tahun 2012 hingga 2013, Kaherah merupakan bandar demonstrasi mingguan sehingga memberi gambaran kepada media dan pelabur asing kerajaan hilang arahan dan kawalan (command and contral) terhadap polis dan tentera.

Saya ingat awal tahun 2013 seorang pegawai bekas Perdana Menteri Najib Razak bersungut kepada saya, bagaimana Morsi membuat temu janji mahu bertemu dengan Najib di KLIA untuk meminta beberapa nasihat sebelum pesawatnya balik semula ke Mesir.

Beliau tidak cukup masa untuk buat lawatan rasmi tiga hari layaknya seorang ketua negara kepada ketua negara yang lain.

Minta nasihat Mahathir

Najib seorang yang menghormati protokol, beliau tidak boleh menemui kepala negara, macam jumpa kawan lama dekat lapangan terbang. Permintaan tersebut ditangguhkan, kebetulan Malaysia pun bersiap nak pilihan raya umum ke 13.

Akhirnya kedua-dua mereka tidak bertemu.

Dr Mahathir Mohamad juga pernah diminta untuk memberikan nasihat kepada Morsi, melalui kumpulan 'Pakatan Pelangi' yang dibuat di kalangan intelektual penyokong demokrasi, dan saya difahamkan, permintaan tersebut datang terlalu lambat, hanya tiga bulan sebelum Morsi digulingkan.

Menjelang ulang tahun pertama pemerintahannya, pada Jun 2013, Morsi berdepan demonstrasi harian oleh berbagai pihak, diburukkan lagi dengan sabotaj politik dan ekonomi yang bersistemetik terhadap bekalan elektrik di beberapa kawasan padat di Kaherah, selain kenaikan harga gandum yang diimport daripada luar, gandum di Mesir seperti beras di Malaysia, harga gandum yang tinggi menyebabkan Morsi menjadi tidak popular lagi.

Polis berkawal di perkuburan Morsi dikebumikan.

Pada 3 Julai, tentera Mesir yang selama ini menjadi 'kerajaan bayangan' melakukan aksi rampasan kuasa berdarah. Morsi ditahan, ratusan penyokong Ikhwanul Muslimin terbunuh dalam bantahan akhir menghalang rampasan kuasa, ribuan lagi ditangkap.

Morsi yang ucapan pertamanya sebagai Presiden Mesir adalah untuk melaksanakan amanah 'darah shuhada' yang menuntut revolusi, akhirnya membayar dengan harga mati.

Ucapan akhirnya beberapa jam sebelum rampasan kuasa, "Sekiranya harga untuk menjaga legitimasi adalah darah saya, saya bersedia untuk mengorbankannya untuk tanah air ini," terdengar seperti 'nyanyian angsa' (swan song).

Ucapan yang gagal memberikan inspirasi seperti kenyataan Erdogan di Turki melalui aplikasi Facetime ketika berdepan situasi yang sama Julai 2016.

Selepas rampasan kuasa tentera, Menteri Pertahanan yang dilantik Morsi, Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi mengkhianatinya tanpa belas kasihan, Morsi dituduh pengganas dan pengintip, dikurung di penjara berseorangan selama 23 jam sehari, sepanjang enam tahun dipenjara, hanya tiga kali lawatan keluarga diberikan.

Kita yang membesar dengan membaca Mathurat (disusun pengasas Ikhwanul Muslimin Hassan Al Banna), membaca penderitaan Syed Qutub berjam-jam mendengar pidato Presiden Gamel Abdel Naser melalui pembesar suara dalam sel penjara, mudah untuk bersimpati dengan Morsi.

Beliau menjadi titik yang menyambung penderitaan yang ditanggung Hassan Al Banna, Syed Qutub dan lain-lain yang mengalami ketidakadilan yang kasar dengan dipenjarakan dan diheret ke mahkamah yang tidak bebas, sementara orang yang merompak Mesir dan menganiaya dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya berkuasa.

Kita mengakui kelemahan Morsi dan boleh tidak bersetuju dengan banyak dasar beliau, tetapi seorang bekas ketua negara tidak patut diperlakukan seperti itu, yang melanggar semua norma keadilan dan hak asasi manusia.

Morsi telah syahid. Dan seperti martir yang lainnya, lebih terkenal selepas kematiannya.

Mengenang Morsi, saya ingin tutup dengan sebaris perenggan daripada novel Naguib Mahfuz The Beginning and the End.

Ia supaya kita faham bagaimana kuatnya tentera mempengaruhi hati dan minda rakyat Mesir.

"Kawannya memberitahu, pegawai-pegawai tentera sangat sombong dan bergaji tinggi, kerja mereka, seperti bermain, tak buat apa-apa. Keterangan memberikan motivasi kepada Hassanein dan memperteguh impian beliau menjadi pegawai tentera."

Demokrasi kalah. Morsi kalah. Revolusi di tanah para firaun adalah revolusi separuh hati.


HELME HANAFI ialah penulis dan penerbit buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS