Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ranking universiti dan aspirasi seorang menteri

ULASAN | Baru-baru ini Quacquarelli Symonds (QS) telah mengumumkan berita gembira yang mengagumkan warga pendidikan tinggi di Malaysia. Lima belas universiti awam Malaysia telah berjaya mendaki kedudukan tinggi dalam World University Rankings 2020.

Universiti Malaya (UM) telah tersenarai di nombor 70 universiti terbaik dunia, sekali gus menjadikannya antara universiti terbaik di Asia.

Lonjakan paling tinggi adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendaki 43 anak tangga ke kedudukan 159 terbaik dunia.

Lebih membanggakan, lebih 20 universiti awam dan swasta Malaysia, berjaya masuk ke senarai ranking buat kali pertama walaupun telah beroperasi sekian lama.

Dr Maszlee selaku pendidik yang pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut mengeluarkan kenyataan memberikan ucapan tahniah kepada setiap universiti yang berjaya.

Di samping itu, beliau turut memperjelaskan bahawa usaha mengejar ranking tidak pernah menjadi fokus utamanya di dalam mengemudi kementerian pendidikan, sebaliknya fokusnya adalah kembali menjadi universiti pemikir untuk masyarakat.

Hasilnya, pengiktirafan datang sendiri setelah universiti melupakan pengiktirafan dan hanya fokus kepada kualiti servis kepada masyarakat dan negara.

Sepanjang saya mengenali beliau, itulah falsafah yang dipegang oleh beliau. Universiti harus menjadi pusat rujukan masyarakat awam untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran dalam penyelesaian pelbagai masalah lalu memacu revolusi minda serta peradaban negara.

Ini adalah usaha yang sukar, yakni menjadikan falsafah ini sebagai satu teras pembentukan polisi pendidikan tinggi kerana selama ini setiap universiti terlalu mengejar sesuatu yang superficial, yakni ranking di atas kertas dan melupakan 'substance', yakni penemuan dan penyebaran ilmu.

Terlalu mengejar h-index

Dahulu, semasa mengejar ranking, para pensyarah merasa tekanan dari pihak atasan untuk meningkatkan h-index, yakni ketinggian suatu artikel ilmiah itu dirujuk oleh artikel ilmiah yang lain.

Ia suatu pengiraan yang bagus dan h-index dan jumlah kumulatif semua staf fakulti berapa kali artikel ilmiah dirujuk menyumbang kepada peningkatan ranking sesebuah universiti.

Tetapi apabila ranking universiti terlalu menjadi fokus, pensyarah terpaksa mengejar h-index dan kadang-kadang terpaksa menggunakan “helah” dalam menaikkan h-indexnya.

Antara “helah” paling popular adalah menumpang nama dalam senarai penulis artikel ilmiah, tanpa menyumbang apa-apa usaha atau buah fikiran semasa kajian dibuat dan ditulis.

Bidang kajian juga terpaksa dilupakan. Ramai pensyarah yang dilatih dalam suatu bidang, terpaksa melupakan bidang kajian asalnya kerana tidak popular dan mula menulis tentang suatu bidang yang mudah menaikkan h-index.

Bidang-bidang yang kurang popular adalah bidang-bidang yang bersifat multidisclipinary (rentas bidang kepakaran) yang susah untuk diterbitkan dan dijadikan sumber rujukan kerana bidang terlampau baru.

Bidang kajian yang baru biasanya juga diusahakan oleh pensyarah-pensyarah muda yang h-indexnya sudah tentu rendah berbanding profesor-profesor lama dan ini menjadikan pensyarah muda amat sukar memperolehi geran penyelidikan.

Malah lebih teruk lagi, obsesi h-index mengurangkan insentif pensyarah untuk memberikan perhatian kepada perkara lain yang tidak menyumbang kepada kenaikkan h-index, contohnya kualiti pengajaran di dalam kelas itu sendiri.

Medan intelektual terbuka

Selain itu, kerja-kerja kemasyarakatan, volunteerism, advocacy atau industrial engagement tidak menyumbang kepada kenaikan ranking penerbitan.

Dr Maszlee menyedari masalah ini dan telah memberikan arahan pertamanya sebagai menteri agar menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka untuk masyarakat.

Naib Canselor dan pimpinan universiti diberikan arahan untuk tidak menghalang sebarang bentuk wacana, debat atau forum yang dianjurkan pelajar dan orang awam juga terbuka untuk datang dan terlibat.

Menteri juga memberikan autonomi lebih kepada universiti dan kluster untuk menentukan KPI masing-masing. Secara peribadi, saya berpandangan usaha Dr Maszlee yang paling bermanfaat dalam pendidikan tinggi setakat ini adalah keterbukaannya untuk openly engage dengan semua pemegang taruh dalam pendidikan tinggi.

Dia tidak kekok untuk duduk bertemu dengan pemimpin pelajar di kedai mamak. Dia juga menjemput untuk berjumpa dan berbincang dengan persatuan akademik, suatu persatuan yang paling penting di universiti dan yang selalunya tidak dihiraukan oleh kementerian sebelum ini.

Baru-baru ini juga Dr Maszlee menerima kunjungan wakil pensyarah muda yang diketuai oleh Dr Wan Amani Wan Salim, bekas penyelidik NASA yang sekarang bekerja di UIAM dan mendengar keluh kesah mereka tentang kepincangan sistem pemberian geran universiti selama ini.

Para pelajar juga mula mendapat tempat di dalam senat universiti awam, sesuatu yang tidak pernah terbayang oleh semua rakyat Malaysia sebelum ini.

Semoga Allah terus membimbing Dr Maszlee untuk memperbaiki dan memacu sistem pendidikan negara. Benarlah pendapatnya yang mengatakan apabila kualiti universiti diperbaiki ranking akan mengejar.


DR AZAM CHE ialah seorang pensyarah bidang aeronautiks di UPNM. Beliau juga ada ketua penyelidik di Strata Analytica.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS