Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tawar RM6.2 bilion untuk ambil alih 4 lebuh raya
Diterbitkan:  Jun 21, 2019 10:03 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) hari ini mengeluarkan surat tawaran untuk mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya.

Menurut pemfailan berasingan dengan Bursa Malaysia oleh Gamuda Bhd dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak Holdings), MOF Inc mengeluarkan surat tawaran kepada Kesas Holdings, Sprint Holdings, Litrak Holdings dan Smart Holdings.

Berdasarkan pemfailan itu, kerajaan menawarkan sehingga RM6.2 bilion untuk mengambil syarikat-syarikat berkenaan.

Keputusan ini mungkin menandakan langkah pertama kerajaan ke arah mengurangkan kadar tol.

Februari lalu, kerajaan mendedahkan sedang berbincang dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat lebuh raya di mana syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.

Berdasarkan pengumuman hari ini, empat lebuh raya itu dijangka ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan empat lebuh raya itu memiliki 48 peratus pegangan saham bagi lebuhraya bertol di bandar (tidak termasuk yang dikendalikan oleh Plus Malaysia Bhd) berdasarkan hasil kutipan tol.

Lim berkata beliau berharap syarikat-syarikat itu boleh diambil alih pada harga yang "adil dan munasabah".

Beliau juga berkata jika berjaya pengambilalihan itu berjaya, kerajaan akan dapat menjimatkan sebanyak RM5.3 bilion bayaran pampasan kepada pengendali lebuh raya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Februari lalu, rancangan awalnya adalah untuk memperkenalkan sistem "caj kesesakan" di mana caj tol sedia ada hanya akan dikenakan pada waktu puncak.

Caj tol tidak akan dikenakan di luar waktu puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi. Manakala caj tol pada waktu lain akan dikenakan diskaun sebanyak 30 peratus.

Pada masa itu, PMO berkata caj tol diperlukan untuk penyelenggaraan lebuh raya dan membayar balik pinjaman konsesi. 

Sebarang lebihan akan digunakan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam, tambahnya.

Lihat Komen
ADS