Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR PAS | Pemuda PAS menggesa mana-mana individu - termasuk dalam kalangan menteri kerajaan persekutuan - memohon maaf secara terbuka kepada parti itu kerana "memfitnah" parti itu menerima dana daripada 1MDB.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata tuntutan itu dibuat susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai 41 pihak yang menerima dana 1MDB semalam.

"Dalam senarai itu tidak ada nama individu terkait dengan PAS.

"Kami ucapkan alhamdulillah kerana ketua pesuruhjaya SPRM yang baru telah pun menyatakan yang sama seperti yang sebelum ini, bahawasanya PAS tidak menerima sebarang dana daripada 1MDB.

"Jadi kami memohon kepada mana-mana individu termasuk menteri sekarang yang sebelum ini memfitnah PAS supaya membuat kenyataan maaf secara terbuka," katanya pada sidang media di Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, hari ini.

SPRM semalam memfailkan permohonan kepada mahkamah - mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) - untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Ia merupakan saman pelucuthakan terbesar dalam sejarah negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata wang tersebut diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di AmBank.

Sejumlah 41 saman pelucuthakan telah difailkan dan SPRM setakat ini diberi empat tarikh untuk kes itu didengar secara berasingan - 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

Semakan di rekod mahkamah menunjukkan pengurusan kes untuk 10 saman ditetapkan pada 25 Jun di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata dakwaan PAS menerima dana 1MDB itu sering dimomokkaan sejak sebelum PRU14.

Ditanya bagaimana permohonan maaf itu perlu dibuat, Khairil Nizam berkata: "Terpulang kepada mereka. Kalau gentleman silakan, kalau menghormati rakyat, silakan. Sebab ini perkara yang sering kali dimomokkan pada PAS sejak sebelum PRU14. Bahkan rata-rata rakyat agak terpercaya dengan dakwaan ini."


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS