Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Samsuri 'jinakkan' saranan Muslimat nak hapus sekolah vernakular

MUKTAMAR PAS | Tidak sampai sejam selepas wakil Dewan Muslimat PAS menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menamatkan sistem pendidikan vernakular di negara ini, naib presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan apa yang disarankan itu bukanlah dasar parti.

Ketika berucap membahaskan ucapan dasar presiden sempena muktamar ke-65 hari ini, wakil Muslimat PAS, Salamiah Md Nor, berkata beliau melihat sistem yang diamalkan sekarang tidak membawa kepada perpaduan antara rakyat di negara ini.

Menurut naib ketua Muslimat PAS itu, Maszlee dilihat tidak melihat lebih jauh sistem pendidikan negara.

Justeru kata Salamiah, Muslimat PAS menyeru agar sistem pendidikan negara mengutamakan aspek takwa dan menjadikan al-Quran sebagai dasar.

"Maka Dewan Muslimat PAS meminta supaya menteri pendidikan mengambil tindakan agar sistem pendidikan vernakular dihentikan, kerana kita lihat sistem ini tidak mendekatkan jurang persefahaman antara kaum, malah ia tidak membawa kepada perpaduan," katanya.

Salamiah juga berkata Muslimat PAS tidak rela jika bahasa Mandarin dijadikan bahasa kedua di negara ini.

"Kita mahu bahasa kedua adalah bahasa al-Quran dan sunnah yang ditinggalkan berzaman sehingga orang Islam jahil dengan al-Quran," katanya.

Salamiah Md Nor

Pada sidang medianya selepas itu, Ahmad Samsuri menjelaskan, apa juga saranan dinyatakan dalam muktamar bukanlah dasar rasmi kepada parti.

Kata menteri besar Terengganu itu, selagi ia tidak dibawa sebagai dasar kerajaan ia masih kekal sebagai pandangan biasa.

"Apa juga yang dibahaskan dalam muktamar, ia bukanlah satu dasar kepada sesebuah kerajaan sama ada peringkat negeri ataupun nasional. 

"Selagi tidak dibawa sebagai dasar kerajaan, ia masih kekal sebagai pandangan terhadap sesuatu isu," katanya.

Ditanya mengenai keperluan PAS mendapatkan sokongan daripada masyarakat bukan Melayu untuk memenangi pilihan raya, Ahmad Samsuri yang juga pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat PAS berkata parti itu mengambil pengajaran daripada pelbagai pilihan raya lalu dan mengambil kira pelbagai aspek sebagai pertimbangan.

"Sedikit sebanyak saya memahami kebimbingan itu. Insya-Allah kita mempunyai pendekatan tertentu," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS