Malaysiakini BERITA

Wajib jatuhkan PH, kata ketua ulama PAS

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan  |  Dikemaskini

MUKTAMAR PAS | Ulama Pusat PAS berpendirian wajib untuk mereka menjatuhkan kerajaan PH yang ada sekarang.

Ketuanya Dr Nik Zawawi Salleh berkata tiada khilaf (pertikaian) mengenai hal itu dan menggesa parti itu tidak banyak menoleh ke belakang.

"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," katanya yang kemudian disambut laungan takbir.

"Perkara ini kita jangan khilaf... jangan khilaf. Kita bergerak ke depan, jangan kita banyak menoleh ke belakang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi pihak Dewan Ulama Pusat PAS pada hujung muktamar yang bermula sejak Jumaat lalu di Stadium Tertutup Sukpa di Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Kata Nik Zawawi PAS perlu diletakkan pada sasaran yang jelas iaitu mahu menjadi kerajaan pusat dan tidak boleh bertahan dengan sekadar apa yang ada sekarang. Tambahan pula, katanya, dengan perkembangan semasa yang berlaku.

"Kalau kita lambat, kita ketinggalan. Kalau kita tak cekap, kita akan dicabar oleh orang lain," katanya.

Justeru kata Nik Zawawi, dengan usul agar PAS menjalin tahaluf siayasi yang - dan diluluskan sebulan suara - semalam, ia akan dijelaskan dari atas ke bawah.

Sayta nak bilang parti-parti lain yang ada dalam negara kita.

"Kalau kita bilang parti-parti ini, dengan siapa kita nak bertahaluf? Adakah nak tahaluf dengan PAS (Amanah)? Adakah dengan DAP?

"Kita masih ada lagi rakan-rakan lain dan alhamdulillah akhir-akhir ini - saya ucapkan jutaan terima kasih kepada parti yang menjadi tunggak kepada kaum-kaum yang ada dalam negara kita yang mula mendekati PAS (dan) mula memahami perjuangan dibawa pas," katanya yang sekali lagi disambut laungan takbir.

Kata Nik Zawawi kerjasama yang dijalin PAS adalah untuk kepentingan Islam dan keamanan dalam negara ini.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.