Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, menasihati anggota dan penyokong parti itu "berhati-hati" dengan laporan berita terutama seperti disiarkan Malaysiakini.

Katanya media massa berperanan untuk menjadi alat bagi menimbulkan keraguan dan perpecahan dalam kalangan anggota dan penyokong PAS.

Menurut timbalan menteri besar Kelantan itu, kebiasaannya Malaysiakini menyiarkan laporan dengan diiringi tajuk berita yang negatif terhadap PAS.

Bagaimanapun Mohd Amar mengakui laporan yang disiarkan Malaysiakini "kadang-kadang elok" terhadap parti berkenaan.

Beliau yang memenangi jawatan naib presiden tanpa bertanding pada pemilihan kali ini juga menegur sesetengah penyokong PAS kerana lebih gemar memberi reaksi kepada tajuk berita tanpa membaca kandungannya.

"Mereka ini, baik macam mana pun dengan kita, media massa ini akan sentiasa memberi gambaran negatif kepada kita, terutamanya Malaysiakini.

"Saya sebut terang-teranglah, sebab Malaysiakini selalu tajuk-tajuk beritanya negatif, memberi gambaran yang tidak baik kepada kenyataan-kenyataan pimpinan kita.

"Walaupun kadang-kadang isinya elok, tetapi tajuknya - dan sebahagian daripada kita suka baca tajuk, isi tak baca," katanya semasa menggulung perbahasan pada hari terakhir muktamar PAS kali ini.

Menurut Mohd Amar ada ahli PAS yang gemar menghentam atau mempertikaikan keputusan diambil pimpinan tanpa mahu membaca kandungan berita tersebut.

Justeru Mohd Amar menekankan supaya parti itu berhati-hati dan bijaksana ketika berdepan dengan media massa.

"Kalau dulu kita dengan Utusan Malaysia, berhati-hati dengan Berita Harian, hari ini tambah satu lagi - Malaysiakini.

"Saya sebut ini banyak kali sebab saya banyak kali diberikan tajuk-tajuk yang negatif oleh Malaysiakini. Tajuk-tajuknya itu sekali baca akan menimbulkan persepsi negatif kepada pimpinan kita.

"Maka sebab itu kita mesti bijaksana berhadapan dengan perkembangan-perkembangan ini dan baca dengan cermat," jelasnya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS