Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

ULASAN | Suasana hari raya masih terasa dan di mana-mana kunjung-mengunjung ternyata masih diamalkan dan rumah terbuka pula masih rancak diadakan.

Namun dalam keghairahan menyambut lebaran, ada juga yang berasa kurang senang dengan apa yang berlaku.

Penulis menulis perkara ini bukan sahaja daripada pengamatan sendiri tetapi apabila mendengar perbualan di sebuah gerai menjual lemang di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR II), Hulu Kelang baru-baru ini.

Gerai itu sememangnya antara destinasi wajib bagi pencinta juadah tradisional itu dan topik yang dibualkan ialah trend penganjuran rumah terbuka warga kota.

Peniaga gerai ini yang saya anggarkan berumur dalam lingkungan lewat 40-an panjang lebar “berleter” kepada rakannya yang datang untuk mengambil tempahan lemang.

Pokok perbualan “ramai masyarakat bandar hari ini seolah-olah terlupa mengenai matlamat sebenar mengapa majlis rumah terbuka itu diadakan.”

Ada tuan rumah menjadikan majlis rumah terbuka sebagai platform untuk menunjukkan kekayaan serta siapa lebih hebat dalam penyediaan juadah, sehingga ada yang sanggup berbelanja mewah dan hilang pertimbangan.

Dalam soal menu, kalau boleh janganlah sekadar nasi impit, lemang, kuah kacang mahupun menu bergoreng dan berkuah semata-mata seperti bihun, laksa, mee kari. Mana ada gaya!

“Sepanjang berniaga lemang, aku dah jumpa macam-macam orang sepanjang bulan meraikan Syawal. Pelik, mereka hendak bermegah dengan menu hebat.

"Nak ayam golek, sate, kambing bakar, padahal bajet tidak ada. Tak mampu sebenarnya. Yalah, harga seekor kambing bakar sekarang dah RM950, tak termasuk menu lain.” Itu antara keluahan tauke lemang yang sampai ke telinga saya.

Sudah menjadi lumrah rumah terbuka dianjurkan selepas seminggu hari raya Aidilfitri disambut. Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka yang tujuan utamanya adalah untuk mengukuh dan mengeratkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain.

Tidak kiralah sama ada ia anjuran organisasi sesebuah syarikat, pemimpin mahupun individu persendirian, kemeriahannya begitu terasa dan boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu sepanjang Syawal pastinya setiap daripada kita akan menerima undangan menghadiri rumah terbuka.

Berlagak tunjuk kaya

Malah, ada antaranya yang menerima empat hingga lima undangan sehari sehingga tidak mampu untuk memenuhi semuanya. Disebabkan itu, terdapat tuan rumah mula menampilkan kelainan dengan memilih untuk menganjurkan rumah terbuka pada waktu pagi supaya tidak bertembung dengan yang lain.

Biasanya, dalam penganjuran rumah terbuka ini tuan rumah akan menerima kunjungan kaum keluarga, sanak saudara dan rakan taulan ke kediaman masing-masing. Bagaimanapun, bagi individu berkemampuan ada yang memilih untuk mengadakannya di hotel mewah, dewan besar ataupun menyewa khemah seolah-olah seperti mengadakan majlis perkahwinan pula.

Pilihan yang sedemikian bukan masalah besar bagi mereka yang berkemampuan cuma yang menjadi isunya adalah individu tidak mampu tetapi berlagak kaya, kata rakan kepada peniaga lemang tersebut. Berdasarkan percakapannya, saya mengandaikan kawannya itu yang dipanggil Zamri merupakan seorang pengusaha katering.

“Itulah masalah masyarakat kita. Aku dah lebih 20 tahun dalam bidang katering, memang dah jumpa macam-macam gelagat warga kota yang sebenarnya tidak ada bajet tetapi berlagak nak tunjuk kaya.

“Ada beberapa kategori, satu orang yang memang dah asal kaya atau dah lama kaya. Mereka ini tidak ada masalah, mudah berurusan kerana tahu kos untuk tempah katering bukannya murah.

“Masalah aku adalah berhadapan dengan orang yang baharu nak kaya. Mereka ini minta buat majlis hebat kononnya ada tetamu VIP tapi bajet tak cukup, suruh kurang harga sana sini,” katanya.

Menurut Zamri lagi, biasanya orang yang baharu nak kaya ini mahu menu kambing bakar jadi pilihan utama kerana ia akan dibakar di depan pagar tuan rumah di mana masa inilah mereka akan berasa megah diri selain turut menginginkan pelbagai juadah lain.

“Bulan Syawal memang rezeki buat pengusaha katering. Tetapi, pada masa sama aku pening kepala nak bagi faham orang macam ini. Kos kami pun meningkat jadi macam mana nak kurangkan harga.

“Sikit-sikit bolehlah tapi kalau banyak sangat susahlah kami. Sepatutnya, buat ikut mana yang mampu dan tak perlulah nak bergaya sakan dengan kambing,” katanya.

Mendengar perbualan tersebut, lantas mengingatkan saya kepada satu bengkel yang pernah dihadiri awal tahun ini berkaitan dengan pengurusan kewangan selepas bersara yang dikendalikan oleh perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir.

Dalam seminar itu yang mana pesertanya kalangan pekerja sektor kerajaan dan swasta, Shamsuddin berkata memang ramai individu berdepan dengan 'penyakit rumah terbuka’ iaitu cenderung mengadakan majlis tersebut di luar kemampuan.

Hutang 10 tahun

Beliau turut berkongsi pengalaman peserta bengkel yang dikendalikan sebelum ini yang sanggup menggunakan kad kredit untuk membeli bahan mentah, bekas makanan, pinggan mangkuk berjenama, tempah kek mahal dan pelbagai lagi semata-mata untuk rumah terbuka.

Akibatnya, mereka berhadapan kesulitan untuk membayar hutang kad kredit dan terpaksa menanggung hutang tersebut lebih 10 tahun!

Saya yakin ini bukan satu-satunya kisah yang berlaku, malah pasti banyak lagi. Sikap segelintir masyarakat yang masih terus mengamalkan sikap 'biar papa asal bergaya’ memang sangat menyedihkan.

Ini kerana sudah banyak kali kita diperdengarkan dengan cerita sedemikian rupa malah ada yang sanggup berhutang dengan Ah Long semata-mata untuk sakan beraya, cuma masih ada yang tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Persoalannya, berbaloikah sikap sedemikian? Apakah perlu kita berbelanja mewah, berlebih-lebihan hanya semata-mata untuk meraikan Syawal tetapi menderita di kemudian hari?

Hakikatnya, Islam menganjurkan supaya umatnya bersederhana dalam segala hal dan ini termasuklah juga dengan tradisi mengadakan rumah terbuka.

Biarpun amalan tradisi seperti ini bukanlah merupakan satu syariat yang diwajibkan Islam, namun majlis rumah terbuka sebenarnya boleh menjadi satu ibadah kerana konsepnya yang menyediakan ruang luas kepada umat Islam untuk melakukan amalan dituntut agama.

Misalnya, ia mampu mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga, sanak-saudara jauh dan dekat, rakan, bermaaf-maafan antara satu sama lain serta mengenali budaya masyarakat beragama Islam apabila rumah terbuka turut dihadiri tetamu berbilang kaum.

Tidak kisahlah sama ada ia diadakan secara besar-besaran mahupun sederhana, natijahnya rumah terbuka adalah satu platform terbaik untuk berkumpul kembali setelah kebanyakannya sekian lama sibuk dengan urusan masing-masing.

Itu sebenarnya kepentingan penganjuran rumah terbuka dan ini yang masyarakat harus sedar kembali mengenai konsep asal tradisi tersebut yang dilihat kebanyakannya sudah tersasar jauh daripada matlamat sepatutnya.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.

Lihat Komen
ADS