Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sebagai rakyat Malaysia, kita berbangga apabila dunia mengenali syarikat multinasional minyak dan gas, Petronas seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Petronas juga berada di kalangan syarikat terbesar dunia FORTUNE Global 500 yang membuktikan ia berada di kelas tersendiri.

Petronas menjadi penjaga atau custodian kepada khazanah sumber tenaga asli negara, iaitu sumber minyak dan gas, di mana Petronas terlibat secara langsung untuk meneroka, menghasilkan dan menyalurkan tenaga asli untuk memenuhi keperluan masyarakat dan negara.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, Petronas menjadi penggerak utama kepada operasi huluan (upstream) dan hiliran (downstream) dengan secara konsisten.

Ia menunjukkan syarikat Malaysia rakan kongsi yang berkebolehan dengan kerajaan-kerajaan tuan rumah, yang Petronas beroperasi di luar negara, serta hubungan baik dengan syarikat-syarikat minyak negara lain di negara kita dalam meneroka sumber minyak dan gas serta membangunkan industri ini di Malaysia.

Sejarah turut membuktikan setelah beberapa dekad beroperasi, Petronas telah membina pengetahuan dan pengalaman untuk membangunkan projek bertaraf dunia dan menjadi pencetus kepada projek-projek perintis utama minyak dan gas secara bersepadu di Malaysia.

Berdasarkan rekod dan sejarah, Petronas sememangnya diberikan penilaian kredit yang baik oleh agensi penarafan kredit antarabangsa. Penilaian kredit memainkan peranan penting dalam pasaran modal hari ini.

Ia membantu memupuk pertumbuhan, kestabilan, dan kecekapan pasaran antarabangsa dan domestik, yang kini melibatkan nilai lebih daripada USD&80 trilion. Nilai utama penarafan ini adalah untuk memberikan penilaian yang jelas, berwibawa dan pendapat risiko yang tepat berdasarkan pemahaman asas tentang risiko kredit.

Penilaian ini juga memberikan kerangka rujukan yang boleh dipercayai untuk keputusan pelaburan. Penarafan agensi menawarkan liputan yang luas dan juga berdasarkan proses penarafan konsisten secara global, disokong oleh jawatankuasa penarafan dengan perspektif multinasional.

Moody’s merupakan agensi penarafan yang terbukti konsisten dan profesional di dunia.

Hari ini Moody’s telah menurunkan penarafan Petronas daripada A1 kepada A2. Satu rekod baru yang dicipta oleh Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya bernasib baik kerana Petronas diurus tadbir oleh pasukan pengurusan yang berkebolehan dan pekerja-pekerja yang berdedikasi dan berpengetahuan tinggi.

Keadaan juga agak baik kerana harga minyak dunia bertambah pulih, tidak seperti tiga hingga empat tahun sebelum ini.

Gred A1 Petronas kekal sepanjang masa bawah pemerintahan Najib Razak walaupun industri minyak Malaysia dan dunia berdepan krisis kejatuhan harga minyak dunia paling teruk dalam sejarah.

Hari ini penurunan penarafan kepada A2 adalah kerana beberapa faktor:

  1. Hubungan kredit yang rapat antara Petronas dengan kerajaan Malaysia

  2. Hakikat bahawa kira-kira dua pertiga daripada aset, pengeluaran dan rizab syarikat itu berpangkalan di Malaysia

  3. Pergantungan kerajaan kepada sektor petroleum untuk hampir 20 peratus hasilnya (tidak termasuk dividen khas) secara berterusan

Namun, pimpinan Pakatan Harapan seperti Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, masih terpinga-pinga dengan keadaan ini. Pada bulan November 2018, penarafan Petronas masih A1 tetapi prospek diturunkan daripada stabil kepada negatif.

Ketika itu, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan analisis Moody’s dengan berpendapat agensi penarafan itu tidak adil dalam memberikan penilaian. Seperti tidak dapat menerima realiti, bagaimanakah penarafan dan prospek boleh dikekalkan jika pendapatan Petronas dijarah dengan teruk.

Petronas telah membayar dividen sebanyak RM26 bilion pada tahun 2018 dan RM54 bilion pada tahun 2019 (termasuk one-off dividen istimewa sebanyak RM30 bilion).

Ini bermakna, sejak Pakatan Harapan memerintah negara, sebanyak RM80 bilion telah dijarah oleh mereka.

RM80 bilion ini merupakan satu angka yang sangat besar. Kerajaan mampu membina lapan menara berkembar Petronas dengan jumlah besar tersebut atau enam buah lapangan terbang antarabangsa KLIA.

Bayangkan beban kewangan yang ditanggung oleh Petronas. Walaupun Petronas telah menunjukkan asas yang kukuh dan terus mengekalkan kedudukan mudah tunai yang dapat menyokong pembayaran dividen, permintaan akan datang dari kerajaan Pakatan Harapan, terutama jika terdapat peningkatan dalam keperluan memenuhi tuntutan dana kerajaan, tidak dapat diabaikan.

Petronas seharusnya diberikan ruang dari sudut dana kewangan untuk meneroka kawasan-kawasan minyak dan gas lain di dunia demi menambah rizab baru. Ini juga penting untuk menambah rizab syarikat di luar negara.

Keadaan penerokaan minyak dan gas yang makin mencabar memerlukan dana kewangan yang kukuh.

Hari ini, penerokaan melibatkan sumber takungan yang kompleks seperti takungan minyak dan gas bertekanan tinggi dan bersuhu tinggi (high pressure and high temperature reservoirs).

Penerokaan juga melibatkan sumber takungan yang berada di lokasi laut dalam (deep water) serta melibatkan takungan yang mengandungi gas karbon dioksida yang tinggi (high CO2).

Dengan kepakaran dan kebolehan pekerja-pekerja dan pengurusan Petronas yang sedia ada, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia yakin, jika kewangan Petronas tidak dijarah, maka Petronas akan terus melebarkan sayap menjadi syarikat minyak dan gas kebangsaan yang terkemuka di peringkat antarabangsa.

Penilaian penarafan Petronas boleh ditukar dari A2 kepada A1 kembali dengan beberapa cara; Pertama Petronas harus menambah rizab di luar negara dan kerajaan harus memberikan pengurusan Petronas menggunakan hasil kewangan syarikat untuk meneroka rizab baru.

Kedua, kerajaan harus mengurangkan pergantungan kepada Petronas untuk menampung perbelanjaan pengurusan kerajaan.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menyeru kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan khazanah negara daripada menjadi lebih parah. Petronas adalah legasi rakyat Malaysia.

Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15.

Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan mereka. Dewan Pemuda Ikatan Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia.

Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap

timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS