Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Metramac Corporation Sdn Bhd bagi mendapatkan penangguhan interim kepada perintah Mahkamah Rayuan supaya syarikat itu mengemukakan afidavit yang mendedahkan butir-butir terperinci tentang asetnya kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd.

Kebenaran itu diberikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang mendengar permohonan itu bersama dengan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Mohamed Sheriff dan Datuk Richard Malanjum.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan penangguhan permohonan yang difailkan oleh Metramac Corporation terhadap keputusan mahkamah pada 12 Januari lalu yang memerintahkan ia membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd sebagai pampasan kepada kerugian yang dialami dalam hak mengiklan dan semua hasil yang akan diterima di bawah kontrak masa depan.

Penangguhan pelaksanaan dan penguatkuasaan kepada penghakiman itu diberikan sementara menunggu permohonan untuk kebenaran bagi merayu terhadap keputusan itu, dibuat kepada Mahkamah Persekutuan, yang akan didengar pada 27 Mac.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan oleh Metramac dengan dua syarat iaitu -- Metramac memperuntukkan RM50 juta dalam akaun bersama dan menyerahkan ia kepada Fawziah Holdings dalam tempoh 14 hari dari tarikh 1 Mac dan menghantar afidavit mengandungi maklumat-makumat penuh tentang semua asetnya antara 25 Oktober 2005 dan 1 Mac 2006.

Permohonan Metramac hari ini adalah bagi menangguhkan kedua-dua syarat.

Peguam Benjamin Dawson, bagi pihak Fawziah Holdings, memohon penangguhan disebabkan notis singkat yang diberikan kepada mereka terhadap permohonan itu, dengan mengatakan bahawa syarikat itu hanya diberikan afidavit berkenaan pagi ini sedangkan ia seharusnya diberikan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum hari pendengaran.

Dua syarat

"Masa yang mencukupi perlu diberikan kepada kami untuk menyediakan afidavit jawapan," katanya.

Peguam Metramac, Datuk Muhamad Shafee Abdullah membantah dengan mengatakan bahawa perkara itu harus didengari dengan segera kerana tarikh akhir bagi mendedahkan maklumat material adalah 15 Mac dan mereka perlu mula mengumpulkan maklumat dari sekarang, dan juga mula menyediakan peruntukan RM50 juta itu.

Beliau juga berkata dua syarat yang dikenakan ke atas pelanggannya adalah terlalu menindas.

Beliau berkata arahan untuk mendedahkan maklumat material adalah hampir sama dengan menjatuhkan hukuman.

Dawson dalam kenyataan balasnya berkata adalah sesuatu yang mengejutkan apabila Metramac, pemilik dan pengendali Lebuhraya Timur Barat dan Lebuhraya Sungai Besi, tidak boleh menyediakan sejumlah RM50 juta, selepas terdapat satu corak pergerakan dana keluar dari syarikat itu.

"Metramac sudah membayar RM106 juta kepada syarikat induknya, MTDI, dan RM57.7 juta lagi pada bulan Januari. Jadi mereka tidak boleh mengatakan bahawa menyediakan RM50 juta itu sesuatu yang membebankan," katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa terlalu sukar bagi mereka untuk menyampaikan afidavit itu sedangkan maklumat boleh diperolehi dari laporan suku tahun syarikat itu.

Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan interim kepada syarat-syarat yang membabitkan afidavit itu, sementara menunggu pendengaran selanjutnya pada 27 Mac.