BERITA Malaysiakini

Pejabat Menteri Pertahanan kesal pesawat MAS lewat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pejabat Menteri Pertahanan kesal dengan kelewatan pesawat Malaysia Airlines hingga menyebabkan menterinya, Mohamad Sabu terlepas temu janji untuk singgah di London bagi bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kesulitan ini amat dikesali dan diharapkan pihak Malaysia Airlines tidak akan mengulanginya pada masa akan datang," kata pejabat menteri dalam suatu kenyataan hari ini.

Kejadian berlaku pada 16 Jun lalu ketika perdana menteri sedang mengadakan lawatan kerja di United Kingdom, manakala menteri pertahanan pula dalam perjalanan ke Perancis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumur (KLIA).

"Pada 16 Jun 2019, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sepatutnya mempunyai temujanji penting untuk bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di London, England.

"Akan tetapi, disebabkan kelewatan pesawat Malaysia Airlines MH0002 untuk berlepas selama lebih kurang dua jam 30 minit dari Kuala Lumpur pada malam 15 Jun 2019, temujanji yang sepatutnya berlaku pada pagi 16 Jun 2019 itu gagal untuk berlangsung.

"Menteri pertahanan singgah ke London semata-mata untuk bertemu dengan perdana menteri dalam perjalanannya untuk lawatan rasmi ke Perancis," kata kenyataan itu lagi.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak Malaysia Airlines mengenai hal ini.