Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sekolah convent akan diguna untuk pendidikan bukan pembangunan'
Diterbitkan:  Jun 24, 2019 9:40 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Pemilik tanah tiga sekolah convent di Pulau Pinang berikrar untuk terus menggalakkan pendidikan di sekolah mubaligh.

Dalam kenyataan media hari ini, Lady Superior Persatuan Saint Maur, Sister Mary Thresa Chua menegaskan bahawa tiada rancangan untuk menjual tanah atau bangunan sekolah convent berkenaan.

Chua menegaskan bahawa seperti yang ditegaskan oleh Sister Celine Wong yang memegang jawatannya pada 2017, tiada rancangan pembangunan semula di tanah itu.

Chua juga memaklumkan bahawa dia kini berada di Rom dan akan mengeluarkan kenyataan media sebaik pulang awal bulan depan.

"Kami mahu menegaskan bahawa pihak kami percaya kepentingan pendidikan dan akan terus menggalakkan pendidikan di sekolah mubaligh.

"Tiada cadangan untuk menjual tanah dan bangunan sekolah convent itu untuk pembangunan semula dan menjadi aspirasi kami agar sekolah kami terus digunakan bagi tujuan pendidikan," katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengatakan tanah sekolah berkenaan akan dijual kepada pemaju swasta untuk pembangunan semula, namun pihak sekolah berkenaan menafikan laporan berhubung isu itu pada 2017.

Pada 20 Jun lalu, The Star memetik Pengarah Jabatan Pendidikan Dr Mahanom Mat Sam sebagai berkata bahawa tiga sekolah berkenaan - K Convent Light Street, SMK Convent Light Street dan SMK Convent Pulau Tikus - akan ditutup dan tanah itu dipulangkan kepada Sisters of Infant Jesus Malaysia.

The Star melaporkan bahawa SMK Convent Light Street dan SMK Convent Pulau Tikus dijangka ditutup pada 2023, sementara SK Convent Light Street dijangka ditutup pada 2024.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat dengan Chua dijangka diadakan pada 19 Julai.

Chow berkata tanah sekolah berkenaan hanya boleh diperoleh melalui kerajaan negeri sekiranya tapak dan bangunan sekolah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS