Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KPM pastikan pelajar sekolah di Pasir Gudang tidak ketiggalan

Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan pelajar yang terlibat dalam insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam perkara itu memandangkan kejadian serupa pernah berlaku di kawasan itu sebelum ini.

"Jabatan Pendidikan Johor mempunyai pendekatan yang baik dalam menangani isu ini. Malah KPM juga mengikuti perkembangan semasa secara dekat menerusi maklumat daripada jabatan pendidikan negeri.

"Pengumuman rasmi mengenai situasi semasa juga dibuat pihak yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuantan hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UMP Profesor Wan Azhar Wan Yusoff.

Menurut laporan semalam, kerajaan negeri Johor mengarahkan kesemua sekolah yang terlibat, beberapa tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi ditutup bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Penutupan itu melibatkan 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 buah tadika swasta yang berdaftar dengan JPN Johor.

Ditanya jika terdapat ibu bapa pelajar yang ingin mengambil tindakan termasuk saman ke atas dalang pencemaran itu, Maszlee berkata ia terpulang kepada mereka kerana perkara itu tidak terletak dalam bidang kuasa kementerian.

"KPM hanya bertanggungjawab dalam kawasan sekolah seperti pendidikan dan keselamatan anak murid manakala di luar sekolah, ibu bapa mempunyai hak untuk melakukan apa saja (termasuk tindakan undang-undang)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee memaklumkan pihaknya telah berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk pembelajaran dan pendidikan sains.

Katanya tambahan peruntukan itu penting bagi mencapai sasaran Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera yang mana berdasarkan dapatan tahun lalu hanya 44 peratus pelajar mengambil bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS