Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuala Koh: Sampel air diambil lagi untuk diuji

Tiga agensi iaitu Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia bertindak mengambil sampel air di empat lokasi berasingan bagi menguji ketepatan punca penyakit yang menimpa Orang Asli suku Batek sebelum ini.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Azizan Abu Taat berkata, sampel air di empat lokasi itu diambil dengan merujuk kepada penduduk Orang Asli dan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia.

Beliau berkata pasukannya memasuki kawasan Kuala Koh bermula pukul 10 pagi dan berakhir pukul 3 petang, hari ini.

"Sampel air di empat lokasi di sini (Kuala Koh) sekali lagi diambil bertujuan bagi dibuat kajian untuk menguji ketepatan keputusan punca penyakit yang menyebabkan 15 kematian Orang Asli sejak awal Mei lalu.

“Untuk tujuan itu pihak kami mengambil sampel air daripada air tadahan bukit, sungai tempat penduduk mandi, telaga tiub dan air sambungan di penempatan penduduk," katanya.

Azizan berkata keputusan mengenai sampel air kali ini akan diuji oleh Jabatan Kimia dan keputusan mengenainya bakal diperolehi pada bulan hadapan.

Jelasnya, proses pengambilan sampel dan kajian ke atas air kali ini adalah bagi memberi keputusan yang lebih tepat berhubung punca penyakit yang dihadapi oleh penduduk Orang Asli di kampung ini.

Selain itu, katanya keputusan selepas ini diharap dapat memberi kepuasan kepada banyak pihak berhubung punca penyakit di perkampungan Orang Asli berkenaan.

“Kita akan membuat lima lagi siri persampelan sehingga Julai ini untuk mendapat keputusan yang tepat.

Kita harap usaha ini dapat membantu penduduk Orang Asli untuk mendapatkan bekalan air bersih,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Koh, hari ini.

Azizan berkata, penduduk Orang Asli di Kuala Koh juga dinasihatkan supaya memasak air terlebih dahulu sebelum diminum.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kimia, Mohd Zaini Abdul Rahman; Presiden Sahabat Jariah Malaysia, Johan Halid; Pengarah JMG Kelantan, Che Abdul Rahman Jaafar dan Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr Mohamad Rafiq Mohd Kasri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS