Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yasin hari ini mengumumkan anggota pasukan petugas khas untuk menyiasat semula dakwaan kehilangan paksa ke atas aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.

Malaysiakini meneliti lebih dekat latar belakang enam anggota yang diumumkan itu.

Abdul Rahim Uda

Abdul Rahim ialah pengerusi pasukan petugas khas ini. Beliau ialah bekas hakim yang dilantik ke Mahkamah Tinggi Malaya pada 5 September 2017.

Antara kes yang dikendalinya sebagai hakim ialah kes Teoh Beng Hock pada 2011. Ketika itu, beliau mengekalkan keputusan terbuka koroner terhadap kematian Teoh.

Mokhtar Mohd Noor

Mokhtar dilantik Ketua Bahagian Perundangan PDRM pada 20 Mei lalu sebelum bersara baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau menjadi penolong pengarah Pendakwaan/Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah.

Zamri Yahya

Zamri dilantik menjadi pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 6 Ogos 2018 dan memegang jawatan itu sehingga kini.

Sebelum itu, beliau menjadi ketua Urusetia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, dan pengarah penyelaras operasi merangkap penasihat kepolisan kepada timbalan perdana menteri.

Beliau juga pernah menjadi ketua pengarah keselamatan kerajaan.

Selain itu, beliau pernah menjadi ketua polis Kedah, sebelum dilantik sebagai pengarah pengurusan Bukit Aman pada 8 September 2016.

Muhammad Bukhari Ab Hamid

Muhammad Bukhari ialah pengarah operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Sebelum itu, beliau menjadi penasihat perundangan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Mohd Sophian Zakaria

Mohd Sophian ialah pegawai perundangan di Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara.

Beliau pernah menjadi pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mohd Russaini Idrus

Mohd Russaini yang bertanggungjawab sebagai setiausaha pasukan petugas khas ialah setiausaha bahagian di Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri.

Lihat Komen
ADS