Paling Popular
Terkini

Kerajaan Kelantan menarik sepenuhnya saman berhubung isu royalti minyak terhadap kerajaan persekutuan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam kerajaan negeri berkenaan, Aleeya Elyana Ahmad Mahreez.

"Sudah tandatangan (di hadapan hakim) notis untuk tidak meneruskan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"(Hakim putuskan) tiada arahan bayar kos, dan tiada kebebasan untuk memfailkan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengurusan kes berkenaan hari di kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Bache.

Peguam Kanan Persekutuan Natrah Idris bagaimanapun berkata penarikan saman itu tidak menandakan isu royalti minyak antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat mencapai penyelesaian.

"Tiada kaitan dengan royalti minyak. Cuma penarikan saman," kata Natrah yang mewakili kerajaan persekutuan.

Natrah menambah bahawa pihak yang terlibat akan memfailkan notis hari ini.

Peguam Syukran Shafiq hadir mewakili Petronas yang merupakan defendan pertama dalam saman berkenaan.

Pada 17 Mei lalu, media melaporkan kerajaan Kelantan menarik saman terhadap Petronas yang difailkan pada 2010.

Kerajaan persekutuan sebelum ini mendapatkan kelulusan untuk campur tangan sebagai defendan.

Pada 7 Mac lalu, media melaporkan bahawa kerajaan persekutuan akan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan selepas penarikan saman kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat dan Petronas selesai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ketika itu memaklumkan bahawa kerajaan negeri sudah memulakan prosiding untuk menarik semula saman.

Azmin berkata kerajaan membuat semua bayaran royalti bagi 2018 kepada Terengganu, sementara Kelantan hanya menerima sebahagian bayaran untuk 2018 kerana pertikaian undang-undang.

Kelantan Menteri Besar Ahmad Yakub renewed the claim for oil royalty with the federal government on Jan 14 at an official meeting with Prime Minister Dr Mahathir Mohamad in Putrajaya.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakub memperbaharui tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat pada 14 Jan lalu ketika berjumpa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Lihat Komen
ADS