Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof semasa lawatannya ke Xinjiang dan Beijing menggambarkan betapa terkebelakangnya pendirian kerajaan PH berkaitan isu hak asasi masyarakat minoriti Islam di Xinjiang.

Penggunaan terma ‘pusat latihan’ adalah endorsement (sokongan) kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

Begitu juga apabila beliau menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai 'berita palsu dari China’ apabila berucap di Bejing Foreign Studies University.

Tiada ‘pusat latihan’ di Xinjiang. Yang ada adalah ‘concentration camp’ yang mempunyai hanya satu tujuan, iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoritI seperti Uighur, Kazakh, Tajik dan lain-lain.

Pada 25 hingga 28 Feb 2019, saya telah dijemput untuk menghadiri 'Thematic Briefing on China’s Ethnic Minority and the Promotion of Unity and Solidarity Among Ethnic Groups in Xinjiang' anjuran Biro Antarabangsa, Parti Komunis China.

Hampir 200 perwakilan dari pelbagai parti politik dari seluruh dunia dijemput.

Kami telah diberikan penerangan, dibawa melawat dan bertemu serta mendengar pelbagai penjelasan termasuk pertemuan dua hala dengan ‘Vice Minister for Internatinal Cooperation’ dan pegawai tinggi dari Biro Antarabangsa CPC.

Namun kami tidak dibawa melawat ke kem di mana hampir sejuta orang Islam ditahan.

Hapus identiti

Kami telah menyatakan dengan jelas dalam pertemuan kami dengan perwakilan dari China kebimbangan dan kegusaran kami terhadap dasar memerangi ektremisme China di Xinjiang.

Ia tidak boleh dilaksanakan dengan menafikan hak asasi dalam mengamalkan agama, cara hidup dan budaya.

Malah kami nyatakan juga betapa program lawatan yang dianjurkan tanpa kami dibawa melihat keadaan ‘kem tahanan’ sebenar telah meyakinkan kami bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan.

Akhirnya kami berpandangan bahawa apa yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan China ialah usaha sistematik untuk menghapuskan identiti, kepercayaan dan cara hidup masyarakat minoriti di Xinjiang.

Dan ia dilaksanakan atas nama memerangi keganasan dan memupuk solidariti dan perpaduan.

Dr Mujahid seharusnya menyampaikan rasa prihatin, kesal dan protes yang sangat mendalam dalam diri umat Islam Malaysia dan dunia terhadap apa yang berlaku di Xinjiang.

Tetapi apa yang berlaku ialah beliau memberikan ‘persetujuan’ terhadap dasar penindasan yang sistematik terhadap golongan minoriti khususnya Uighur di Xinjiang.

Tindakan beliau bukan sahaja sangat memalukan, tetapi sangat melukakan hati umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Pendirian Dr Mujahid, jika tidak dijelaskan, bolehlah ditafsirkan sebagai pendirian Malaysia.

Dan pendirian seumpama ini adalah sangat jelek dan tidak boleh diterima dari sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Saya mendesak Kementerian Luar menjelaskan pendirian sebenar Kerajaan PH dalam perkara ini.

Kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan tindakan Dr Mujahid ditafsirkan sebagai pendirian rasmi Malaysia.


MOHAMED KHALED NORDIN merupakan naib presiden Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS