Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parlimen kembali bersidang: Agenda reformasi akan diteruskan?

Dewan Rakyat akan kembali bersidang buat kali kedua tahun ini pada minggu depan.

Ia juga boleh dianggap sebagai jalan penting untuk Pakatan Harapan (PH) mengusahakan agenda legislatifnya.

Sidang ini, walaupun hanya berlangsung selama 12 hari, adalah tempoh penting memandangkan tumpuan penuh boleh diberikan untuk perubahan legislatif yang menurut PH perlu untuk melaksanakan reformasi.

Sidang pertama tahun ini - selama 20 hari - dipenuhi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong. Sidang ketiga pula - yang dijadualkan selama 36 hari - akan bertumpu kepada perbahasan belanjawan.

Sumber yang arif dengan mesyuarat Pakatan Harapan esok yang akan membincangkan perkara itu, memberitahu Malaysia bahawa sekurang-kurangnya enam perkara akan menjadi agenda.

Ia termasuklah usul untuk semua anggota parlimen (MP), termasuk pembangkang, untuk mengisytiharkan aset, pindaan perlembagaan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun, perubahan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, pengenalan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Malaysiakini melihat perincian berkenaan agenda legislatif PH:

Pengisytiharan aset diluaskan kepada MP pembangkang

Perkara pertama dalam agenda kemungkinan usul agar semua MP mengisytiharkan aset.

Walaupun usul itu merujuk semua MP, ia sebenarnya menyasarkan pembangkang kerana MP kerajaan sudah pun mengisytiharkan aset.

Pengisytiharan oleh MP kerajaan itu dibuat susulan dasar kerajaan, bukan usul atau undang-undang.

Bagaimanapun, usul yang bakal dibentang dalam sidang minggu depan ini bertujuan mengenakan perkara sama kepada MP pembangkang.

Usul ini, yang telahpun dimasukkan dalam aturan mesyuarat untu Isnin, mahu semua MP, pasangan, anak dan pemegang amanah mereka mengisytiharkan aset, selaras dengan "ketelusan dan kebertanggungjawaban".

MP diminta untuk memberikan butiran dalam masa tiga bulan selepas usul diluluskan, dengan satu salinan dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiarkan di laman webnya.

Usul tersebut hanya memerlukan majoriti mudah dan hampir pasti akan diluluskan.

Menarik untuk melihat sama ada MP akan mematuhinya kerana mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang tetapi Dewan Rakyat boleh mengambil tindakan terhadap kelebihan mereka sebagai MP.

Menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18

Perubahan ini, yang termasuk dalam janji manifesto PH, memerlukan pindaan perlembagaan. Ini bermakna ia memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata pindaan akan dibentang pada 4 Julai. Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka membentangkan usul itu.

Azhar Harun

Memandangkan PH tiada majoriti dua pertiga, usul itu memerlukan sokongan BN, PAS atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk diluluskan.

Malaysiakini menjelaskan lebih lanjut tentang parkara itu di sini.

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak popular di kalangan polis. Sebelum ini, cadangan perundangan berkenaannya diubah kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang tiada kuasa penguatkuasaan terhadap dakwaan salah laku polis.

Ia merupakan cadangan utama Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 2005.

Kerajaan PH akan sekali lagi cuba melaksanakannya selepas BN gagal sebelum ini. IPCMC juga terkandung dalam manifesto PRU ke-14 mereka.

Berbeza dengan sebelum ini, polis kini diketuai Abdul Hamid Bador yang terbuka dengan IPCMC di sebalik keraguan anggotanya.

Kerajaan juga telah menerima hujah ketua polis negara itu bahawa IPCMC perlu seiring dengan pembelaan terhadap hak dan kebajikan polis.

Bagaimanapun perincian perundangan itu penting untuk melihat sama ada IPCMC menepati harapan dan jangkaan, atau satu lagi versi yang telah dilembutkan.

Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012

Dalam manifestonya, PH berjanji untuk memansuhkan peruntukan "zalim" dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara perincian pindaan belum dibentang kepada orang awam, rungutan biasa yang didengar ialah peruntukan yang mewajibkan notis diberi sepuluh hari sebelum himpunan diadakan.

Malaysiakini difahamkan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin akan memberi taklimat kepada MP PH berkenaan pindaan itu.

Laporan persempadanan semula Sabah

Kerajaan BN sebelum ini melaksanakan persempadanan semula, yang dianggap berpihak kepada gabungan itu, di Semenanjung dan Sarawak. Ia bagaimanapun tidak melakukannya di Sabah walau laporannya sudah selesai.

Ini kerana perubahan sempadan parlimen - yang akan membawa kepada pertambahan kerusi DUN - memberi kelebihan kepada pantai timur Sabah. Ia merupakan kubu kuat bekas naib presiden Umno Shafie Apdal yang keluar daripada parti itu pada 2016.

Perkembangan itu menyebabkan Umno risau hilang penguasaan di kawasan itu dan justeru mengambil keputusan untuk tidak meningkatkan pengaruh pantai timur Sabah dalam PRU lalu.

Seperti dijangka, Parti Warisan Sabah yang dipimpin Shafie menguasai sebahagian besar pantai timur Sabah dan akhirnya menang dalam PRU lalu, walaupun tanpa persempadanan semula.

Kini sekutu Warisan iaitu PH mewarisi laporan persempadanan semula itu.

Malaysiakini difahamkan pelan tentatif sekarang ialah untuk membentangkan laporan itu pada 17 Julai. Ia hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan.

Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional

Pada Januari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) untuk menyelaraskan agensi penguatkuasaan dalam membanteras pengubahan wang haram dan jenayah berkaitan kewangan yang lain.

NAFCC akan merangkumi beberapa agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Bank Negara Malaysia, SPRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan PDRM.

Pada masa ini, NAFCC diletakkan di bawah Pusat Governans, Integriti & Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Ketua Pengarah GIACC Abu Kassim Mohamed berkata satu perundangan khusus untuk NAFCC akan dibentang di Dewan Rakyat.

Hukuman mati mandatori

Pada Mac lalu di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah akan dimansuh dan digantikan dengan hukuman mati berdasarkan budi bicara mahkamah.

Ini melibatkan sembilan jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.

“Kita telah buat keputusan, kerajaan hanya menghapuskan hukuman mati mandatori sahaja, maknanya kita akan buat pindaan.

“ Itu adalah seperti janji ke 27 dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya.

Pada Oktober 2018, kabinet memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 33 jenis kesalahan yang merangkumi lapan akta.

Lihat Komen
ADS