Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wajib jatuhkan PH: Dialog di TV syarat ketua ulama PAS
Diterbitkan:  Jun 29, 2019 4:25 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh menyatakan kesediaan untuk berdialong dengan mana-mana pihak dari Pakatan Harapan (PH) berhubung "fatwa" wajib menjatuhkan kerajaan PH.

Beliau bagaimanapun meletakkan syarat agar dialog berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

“Saya bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak dari kerajaan PH pada bila-bila masa secara terbuka di televisyen dengan syarat mesti disiarankan secara langsung atau di tempat terbuka seperti stadium dan seumpamanya.

“Insha-Allah saya akan jelaskan apa nas dan dalil secara terperinci melalui kaedah dalam agama," katanya yang dipetik Harakahdaily, hari ini.

Pada ucapan penutup Muktamar Tahunan PAS pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi menegaskan bahawa wajib untuk PAS menjatuhkan kerajaan PH dan tiada sebarang khilaf mengenai kedudukan itu.

"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," katanya yang kemudian disambut laungan takbir.

"Perkara ini kita jangan khilaf... jangan khilaf. Kita bergerak ke depan, jangan kita banyak menoleh ke belakang," kata anggota Parlimen Pasir Puteh itu.

Ia kemudiannya disusuli tulisan Pengarah Syariah Parti Amanah, Zolkharnain Abidin di Malaysiakini yang menyatakan pelik dengan fatwa wajib menjatuhkan kerajaan PH yang dikeluarkan Ketua Dewan Ulama PAS itu.

Semalam, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin secara tidak langsung mencabar Nik Zawawi untuk membicarakan kewajarannya mewajibkan penyokong PAS menjatuhkan kerajaan PH.

Meskipun tidak menghubungi Nik Zawawi mengenai hasratnya itu, Wan Ji yang juga bekas anggota Dewan Ulama PAS Selangor mengharapkan supaya ada badan bebas atau stesen televisyen yang rela menganjurkan dialog tersebut.

Dalam pada itu Nik Zawawi berkata, melalui dialog berkenaan beliau menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung kenyataanya itu.

"Ia bagi menjelaskan kenyataan saya bahawa kerajaan PH mesti dijatuhkan dan diganti dengan sebuah kerajaan yang mendaulahkan di dalamnya syariat Islam serta melaksanakan hukum-hukum Allah yang menjadi rahmat kepada sekalian alam," tambahnya.

Jelas Zawawi mana-mana kerajaan yang wujud menyimpang dari landasan agama tidak menegakkan daulah Islamiah dan tidak melaksanakan syariat Allah wajib dijatuhkan mengikut hukum syarak. 

Lihat Komen
ADS