Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambil pekerja asing dari Afrika hanya cadangan, kata Dr M
Diterbitkan:  Jun 29, 2019 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Pengambilan pekerja asing dari Afrika seperti yang disebut Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran hanyalah satu cadangan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, Mahathir juga membayangkan beliau tidak menyokong cadangan itu.

“Kita belum membuat apa-apa pemilihan pun setakat ini, hanya cadangan sahaja kerana saya berpendapat orang di Malaysia ramai, jadi tak payahlah bawa masuk warga asing,” katanya seperti dipetik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA, di Langkawi hari ini.

Semalam Kulasegaran berkata cadangan itu akan dipertimbangkan bagi menampung keperluan sektor perladangan.

Beliau berkata ia berikutan pekerja asing dari Vietnam dan Malaysia tidak lagi berminat untuk bekerja di Malaysia atas faktor gaji yang tidak berbeza dengan negara asal mereka.

"Ini satu permulaan dan kita akan melihat kesesuaian (pekerja asing dari negara Afrika) kerana pihak kementerian ada menerima permintaan daripada majikan yang mahukan pekerja dari negara itu untuk bekerja dalam sektor perladangan," kata Kulasegaran seperti dilapor Bernama.

Untuk rekod, kebanyakan pekerja asing di negara ini daripada rantau Asia Tenggara dan Bangladesh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS