Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelajar sekolah Islam dan Cina 'jelajah Kuala Lumpur'

Sabtu minggu ini sama seperti minggu-minggu sebelumnya. Jarum jam menunjukkan angka sembilan dan cuaca nampaknya agak baik.

Di Kuala Lumpur, sekumpulan pelancong mula mengunjungi beberapa rumah ibadat seperti Masjid Jamek, Kuil Hindu Sri Mahamariamman, dan Kuil Guan Ti.

Suasana tenang sehinggalah kira-kira 100 pelajar tiba di kawasan itu. Mereka terdiri daripada pelajar menengah beberapa sekolah Cina persendirian dan sekolah agama Islam di Lembah Klang.

Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Berpandukan peta, mereka mula berjalan di sekitar masjid dan kuil dengan satu tujuan - mempelajari kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia.

Mereka adalah peserta program 'Jelajah KL Lama' anjuran Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Ikram Musleh, sebuah institusi pendidikan Islam.

“Kami mahu pelajar berkomunikasi antara satu sama lain dengan melakukan tugasan bersama (dalam program ini).

“Kami mahu mereka rasai pengalaman pelbagai etnik di Malaysia,” kata pengelola program, Kong Wee Cheng ketika ditemui pagi ini.

Kong bertanggungjawab menguruskan projek-projek pelbagai kaum dan budaya oleh Dong Zong.

Menurutnya, pelajar pada mulanya dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum diberi tugasan untuk diselesaikan.

Menggunakan konsep 'treasure hunt', peserta diberi satu set soalan. Untuk menjawabnya, mereka perlu pergi ke lapan lokasi termasuklah kawasan tarikan pelancong sekitar rumah ibadat.

Antaranya Pasar Seni, Dataran Merdeka, Jalan Petaling dan Jalan Sultan.

“Dong Zong dan Ikram Musleh melakukan usaha ini kerana tahu kita berdepan dengan isu etnik di Malaysia.

“Ada yang mengatakan ia disebabkan pengasingan mengikut sekolah. Tetapi bagi kami, kami pandang ke depan. Kami mahu pelajar tahu Malaysia sebuah negara berbilang budaya.

“(Kami mahu pelajar) merasai pengalaman ini, mempunyai kawan daripada kaum dan latar belakang budaya yang berbeza agar lebih memahami."

Katanya lagi, tema Jelajah KL Lama dipilih memandangkan ibu kota itu contoh terbaik untuk menunjukkan Malaysia bukan dibina oleh satu kumpulan etnik semata-mata.

“KL Lama bukan hanya dibina oleh satu kumpulan etnik yang tertentu. Dari zaman dulu lagi ia sudah ada pelbagai budaya. Dengan usaha dan sumbangan setiap kaum, kita telah bina negara ini bersama-sama,” katanya.

Antara tugasan yang perlu disempurnakan pelajar adalah mendapatkan beberapa maklumat yang hanya boleh diperolehi dengan mengunjungi kawasan-kawasan yang ditetapkan, dan berinteraksi dan bertanyak soalan kepada orang-orang di situ.

Antara maklumat tersebut ialah waktu sembahyang bagi agama-agama yang berbeza, dan sejarah seni bina bangunan berkenaan.

Memupuk hubungan

Seorang pelajar Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin, Hanis Kautsar Mohd Kamal, 16, berkata dia percaya program itu memberikan peluang yang bagus untuknya lebih mengenali budaya lain.

“Saya juga dapat kawan baru hari ini. Ini kali pertama saya turut serta aktiviti seperti ini.

“Saya percaya program seumpama ini patut diteruskan kerana ia dapat membantu menggalakkan hubungan yang lebih baik antara penganut agama dan kepercayaan yang berbeza,” katanya.

Pendapat senada dikongsi Lai Zi Xuan, 17, dari Sekolah Hin Hua Klang.

Baginya, program itu dapat meningkatkan keharmonian antara kaum dan memperbetul persepsi salah oleh satu pihak terhadap pihak yang lain.

“Saya rasa program ini mendekatkan hubungan kaum-kaum yang berbeza, terutama orang Melayu dan Cina. Ia membolehkan kami perbaiki pemahaman kami (tentang satu sama lain),” katanya.

Sementara itu, Bagi guru SMI Jeram, Iqbal Lukman, berkata dia berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain turut dapat mencontohi usaha seperti itu.

“Ini adalah program yang sangat bagus untuk perpaduan negara kita.

“Dalam program hari ini, kami pergi ke beberapa rumah ibadat di kawasan ini. Ia pengalaman yang bagus kerana ia menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Guru dari Sekolah Hin Hua, Hwang Yang Hong turut berkongsi sentimen serupa.

Katanya, program tersebut memberikan peluang kepada orang bukan Islam sepertinya untuk lebih mempelajari tentang Islam dan penganutnya.

“Aktiviti macam ini patut dianjurkan lebih kerap supaya pelajar-pelajar kita dapat peluang untuk bergaul dengan kawan-kawan daripada latar belakang berbeza,” katanya.

Begitu juga dengan guru Sekolah Hin Hua, Hwang Yang Hong, yang berkata program itu memberi peluang kepada orang bukan Islam sepertinya untuk mempelajari agama itu dan rukun-rukunnya.

"Ia perlu dianjur lebih kerap agar pelajar kita berpeluang bercampur dengan mereka yang memiliki latar belakang berlainan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS