Kes penularan wabak yang menyebabkan kematian 15 Orang Asli di Kuala Koh baru-baru ini boleh diatasi sekiranya kerajaan bertindak pantas, kata anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya lebih peka dan mengambil tahu mengenai masalah Orang Asli sebelum berlakunya tragedi berkenaan.
"Kerajaan patut bertindak dari awal. Bukan sahaja lambat bertindak, malah umum pengesahan punca penyakit juga ambil masa yang lama," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, di pekarangan Pusat Khidmat Dun Galas, di sini hari ini.
Pada 17 Jun lalu Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian 15 Orang Asli suku Bateq disebabkan wabak yang berlaku dalam komuniti di Kuala Koh, termasuk disebabkan demam campak.
Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes - termasuk tiga kematian yang disahkan setakat ini - membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan.
Sementara itu Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan gelaran Ku Li, berkata kini timbul pula cadangan untuk memindahkan Orang Asli berkenaan ke satu kawasan lain.
"Ia memerlukan kajian yang mendalam.
"Suku kaum Bateq, berbeza dengan suku kaum lain. Saya nak cadang apa-apa pun susah kerana siasatan dan kajian itu perlu sebelum keputusan dilaksanakan," katanya.
