Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tengok keadaan politik, PRU ke-15 mungkin tahun depan'

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menjangkakan pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan diadakan seawal Mei tahun depan, jauh lebih awal berbanding tempoh lima tahun selepas PRU ke-14.

Beliau berkata jangkaan itu setelah melihat keadaan politik negara ini terutama apa yang menurutnya dalam Pakatan Harapan (PH).

“Jangan risau kerajaan ini kerajaan setengah penggal saja, bukan satu penggal. Tak akan dapat bertahan pun.

“Kalau P Ramlee dia ada belalang, saya tak ada. Tapi saya yakin PH tak akan lama bertahan. Saya jangka pilihan raya selepas Mei hingga Disember tahun depan," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sepang di Sepang, hari ini.

Beliau mendakwa antara sebabnya ialah Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau tidak menamakan mereka secara khusus tetapi merujuk Mahathir sebagai 'atuk' dan Anwar sebagai 'abang'.

"Dalam keadaan begini, tambahan pula mengenali atuk (Mahathir), dia tak akan bagi dekat abang kita (Anwar). Saya percaya dan yakin dia tak akan bagi.

"Bila tak bagi, abang kita akan turun ke padang balik setiap minggu. Apabila keadaan sudah tak tenteram atuk akan jumpa Yang di-Pertuan Agong (untuk) bubarkan Parlimen," katanya lagi.

Hari ini, Anwar berkata tumpuan seharusnya diberikan kepada pentadbiran PH dan bukannya soal peralihan kuasa antaranya dengan Dr Mahathir.

"Soal peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada saya ini menjadi masalah kepada banyak orang tetapi ia tidak jadi masalah kepada saya," katanya seperti dilapor Bernama.

Isu peralihan kuasa itu dicapai antara parti komponen PH sebelum PRU ke-14 tetapi tiada tempoh muktamad ditetapkan untuk ia berlaku.

Mohamad yang juga adun Rantau berkata peralihan kuasa kepada Anwar tetap tidak akan berlaku jika "sudah tertulis" begitu.

“Jangan kita tak percaya ketentuan Tuhan - kalau dah tertulis dia tak akan jadi perdana menteri, tak akan jadi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS