Isu pencemaran air di Sungai Selangor yang menyebabkan sebahagian penduduk Lembah Klang menggunakan air berbau najis nampaknya masih tergantung-gantung.
Sehigga ini belum diketahui punca sebenarnya walaupun banyak pihak terbabit telah menjalankan kajian dan telah membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini berkata ia sedang menunggu laporan menyeluruh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai punca pencemaran air di Sungai Selangor.
Menteri Datuk Seri Ong Ka Ting berkata laporan itu juga termasuk keadaan di tapak pelupusan sampah Bukit Tagar, dekat Rawang, yang juga dikatakan menjadi punca pencemaran sungai itu.
"Ketua Pengarah JAS telah berkata bahawa jabatan itu akan menyediakan laporan menyeluruh.
"Oleh kerana Kabinet telah memutuskan bahawa Timbalan Perdana Menteri akan mengetuai jawatankuasa Kabinet mengenai alam sekitar, yang turut melibatkan pelbagai agensi, biarlah badan profesional dan jabatan menyediakan laporan mereka supaya kerajaan dapat mengetahui punca masalah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Hartanah Malaysia 2006 di Kuala lumpur.
Pada Rabu lalu, kabinet memutuskan jawatankuasa Kabinet mengenai alam sekitar yang dipengerusikan Najib akan mengendalikan semua isu alam sekitar menerusi tindakan bersepadu berikutan kejadian tahap ammonia tinggi dan bau busuk dikesan pada air paip yang bersumber dari Sungai Selangor yang dibekalkan kepada pengguna di Lembah Klang baru-baru ini.
Awal bulan ini, JAS Selangor mendapati tahap ammonia di Sungai Selangor mencapai paras bahaya iaitu 9.2mg seliter berbanding kadar selamat 1.5mg seliter.
Sementara itu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), pengendali tiga loji rawatan air di sepanjang sungai itu pula mengatakan ia telah meningkatkan kandungan klorin dalam air mentah yang tercemar itu dalam proses rawatan untuk mengurangkan kandungan ammonia.
Tindak balas kimia itu telah menyebabkan air paip berbau busuk di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur awal bulan ini, kata Syabas.
Mengenai laporan kebanyakan tapak pelupusan sampah di Lembah Klang telah mencapai kapasiti penuh, Ong berkata kementerian telah menjalankan kajian menyeluruh di seluruh negara mengenai perkara itu dan akan menyerahkan laporan kepada jawatankuasa yang diketuai Najib secepat mungkin.
