Penganjur pertandingan tarian di Perak memohon maaf berikutan dakwaan beberapa peserta yang berpakaian tidak sepatutnya pada satu acara Sabtu lalu.
Penganjur Perak Muda Medalist Dancesport Competitions 2019 dan 7th Perak Show Dance Champonships 2019, JJ & Alice Danceworld, memohon maaf kerana tidak mematuhi kod pakaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan Persatuan Tarian Malaysia Bersatu (Muda).
Bagaimanapun, penganjur mendakwa bahawa peserta tidak tahu mengenai syarat pakaian, memandangkan mereka tidak dimaklumkan mengenanya.
“Atas sebab yang tidak dapat dijangka, kami sebagai penganjur, gagal untuk memaklumkan kepada para peserta mengenai kod pemakaian.
"Kami memohon maaf atas kesilapan kami yang telah memberi kesan kepada persatuan tarian negara - Muda - dan Kementerian Pendidikan," kata JJ & Alice Danceworld dalam satu kenyataan.
Gambar dari acara yang berlangsung di Ipoh, Perak itu menunjukkan beberapa peserta berpakaian seperti penari gelek.
Sementara itu, penganjur juga memohon maaf atas penggunaan logo Kementerian Pendidikan sebagai latar belakang acara tanpa mendapat nasihat terlebih dahulu dengan kementerian itu.
Kementerian Pendidikan enggan lagi terlibat
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengesahkan kementerian itu menerima permohonan maaf daripada pengajur terbabit.
Beliau dalam satu kenyataan juga mengakui acara berkenaan merupakan program anjuran bersama kementerian tersebut.
Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap penganjur kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Oleh kerana penganjur gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, KPM tidak lagi akan terlibat dalam apa jua program dianjurkan oleh Muda.
“Pihak penganjur seharusnya telah membatalkan penyertaan mereka yang tidak mematuhi tatacara pemakaian,” katanya.
