Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Debat mesti sama level, bukan dengan budak-budak jalanan’

Ketua Dewan Ulama PAS Dr Nik Zawawi Salleh menjelaskan kesediaan beliau untuk berdialog terbuka dengan pihak yang setaraf sebaliknya bukan dengan “budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia”.

Kenyataan itu sekali gus bermaksud penolakan beliau untuk berdebat dengan ustaz PKR Wan Ji Wan Hussin berkaitan hukum menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

"Saya tidak kenal siapa yang bernama Wan Jii dan tidak pernah tahu apa jawatan dalam parti yang dipegang.

“Saya menyatakan syarat yang sangat popular di mana-mana termasuk di peringkat antarabangsa iaitu sebarang dialog profesional mesti antara tokoh yang sama level bukan dengan budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia sahaja.

"Sekali lagi saya tegaskan saya bersedia berdialog dengan rakan-rakan sejawatan demi untuk kebaikan negara dan agama. Saya bukan nak mencari populariti murahan tetapi ingin mencari keredaan Allah. Kebenaran mengatasi segala-galanya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

 

Terdahulu anggota Parlimen Pasir Puteh itu menyatakan kesediaan untuk berdialong dengan mana-mana pihak dari Pakatan Harapan (PH) berhubung "fatwa" wajib menjatuhkan kerajaan PH.

Beliau bagaimanapun meletakkan syarat agar dialog berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Susulan itu Wan Ji menyahut cabaran itu dengan tidak meletakkan sebarang syarat untuk berdebat dengan Nik Zawawi

Dalam pada itu Nik Zawawi berkata jika benar Wan Ji tidak meletakkan sebarang syarat terdapat ribuan penyokong biasa PAS sanggup berdialog dengannya (Wan Ji).

Penghinaan, kata Wan Ji

Sementara itu, Wan Ji dalam respons balasnya menyifatkan penolakan itu sebagai satu “penghinaan”.

Katanya pejabat menteri agama mencadangkan Pengarah Syariah Nasional Amanah, Zolkharnain Abidin sebagai panel wacana (debat) dan menyediakan pentas televisyen secara langsung.

 Zolkharnain Abidin

Namun katanya, beliau amat menghargai sekiranya ketua Dewan Ulama PAS itu berubah fikiran untuk berdebat dengannya.

"Apatah lagi, dalam kenyataan Dr Nik Zawawi baru-baru ini, beliau mahu kemukakan hujah dari Nas Islam; al-Quran dan hadis.

"Saya pula, akan kemukakan Turuq Istidlal dan kaedah usul fiqh dalam menilai balik hujah Dr Nik Zawawi tersebut. Saya bukan nak bergaduh atau bertengkar, tetapi saya mahu berhujah secara sihat sepertimana wacana saya dengan rakan-rakan sebelum ini," jelasnya

Dalam perkembangan sama Setiausaha Politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam kenyataan media hari ini menyatakan pihaknya membuka ruang untuk dialog tersebut dibuat melalui rancangan Analisis TV al-Hijrah secara langsung.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Nik Muhammad Zawawi menyatakan persetujuan namun meletakkan ‘syarat tambahan’ agar ‘regu dialognya’ nanti adalah setaraf (keilmuan agamanya, mungkin – ini memandangkan pandangan ‘wajib’ yang beliau telah keluarkan sebelum ini atas kapasiti beliau juga memegang jawatan sebagai ketua Dewan Ulama PAS dan wakil PH yang boleh membuahkan hasil untuk rakyat dan dasar negara.

"Oleh yang demikian, suka saya maklumkan di sini bahawa bagi mewakili PH, Zolkharnain Abidin Al-Hafiz yang jawatannya setara jika dibandingkan dari sudut hierarki parti dengan ketua Dewan Ulama PASakan menjadi regu kepada Nik Zawawi di dalam dialog itu nanti.

"Gelanggang telah kami buka, suburkan budaya berhujah menerusi ruang dialog demi kepentingan ummah," katanya.

Lihat Komen
ADS