Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengenal pasti dan menyiasat sebarang kecurangan akademik.
Naib Canselor Unimap, Prof Dr R Badlishah Ahmad, berkata melalui Jawatankuasa Khas Integriti Akademik itu institusi pengajian tinggi berkenaan akan meneliti sebarang isu yang melanggar etika seperti memplagiat atau memalsukan dokumen.
Katanya Unimap tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahlinya yang melakukan jenayah akademik sebegitu itu dan tindakan yang tegas akan diambil sekiranya perlakuan tersebut dapat dibuktikan.
Menurut R Badlishah, ahli akademik merupakan ilmuan dan cendekiawan yang mempunyai integriti tinggi, justeru tidak sepatutnya mereka melakukan sebarang perlakuan yang melanggar etika.
“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya hal sebegitu berlaku memandangkan mereka adalah pemimpin masyarakat dan wajar menjadi contoh yang baik kepada pelajar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
R Badlishah berkata demikian sebagai mengulas artikel mengenai amalan tidak beretika kalangan ahli akademik di sebuah portal baru-baru ini.
Menjelaskan hal itu lebih lanjut, R Badlishah berkata, antara kecurangan akademik ialah mencuri idea pelajar dan mengakui ia sebagai ilham mereka sendiri, atau meletakkan nama selaku penulis utama dalam mana-mana artikel yang hendak diterbitkan.
Jelasnya, ada juga situasi membabitkan ahli akademik memaksa pelajar menulis jurnal atau penerbitan yang banyak dan mengugut mereka untuk tidak menandatangani borang penyerahan tesis sekiranya pelajar enggan melakukannya.
“Isu plagiat dalam kalangan ahli akademik tidak boleh diterima sama sekali.
"Mereka (ahli akademik) tidak boleh meletakkan nama dalam penulisan tersebut sekiranya tidak menyumbangkan sebarang idea.
“Ia kesalahan yang serius, sangat tidak beretika dan sesuatu yang memalukan bagi sesebuah universiti yang terkenal sebagai institusi akademik,” katanya.
