Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian Pengangkutan elak jawab soalan plat 'TMJ, RZ'
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 8:38 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Kementerian Pengangkutan semalam mengelak untuk menjawab soalan sama ada kenderaan yang mengggunakan plat "TMJ" dan "RZ" didaftarkan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau dibenarkan di atas jalan raya.

Sebaliknya, kementerian itu dalam jawapan di parlimen menjelaskan mengenai peraturan berkaitan kuasa menteri pengangkutan dan pengarah JPJ berhubung pendaftaran plat kenderaan.

Antara lain, katanya, pengarah JPJ boleh menetapkan kadar bayaran (fi) bagi nombor pendaftaran yang telah diperuntukkan kepada kenderaan tersebut, manakala nombor pendaftaran hendaklah dibuat mengikut kepada kawasan sesuatu kenderaan didaftarkan

"Selain daripada nombor pendaftaran yang mengikut kawasan pendaftaran, nombor pendaftaran istimewa telah turut diperkenalkan selaras dengan Kaedah 5A, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

"Pemberian nombor pendaftaran istimewa ini adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Menteri," katanya.

Jawapan tiga perenggan itu tidak secara khusus menjawab soalan mengenai plat "TMJ" atau "RZ" yang dibangkitkan.

Jawapan bertulis itu adalah bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (Harapan-Labis), yang bertanya sama ada plat berkenaan telah didaftarkan dengan JPJ sebagai pendaftaran yang sah dan sekiranya tidak, sama ada kenderaan berkenaan dibenarkan di atas jalan raya.

Nombor plat  "TMJ" digunakan oleh Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan  Ibrahim manakala "RZ" digunakan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah.

Pertanyaan Pang menimbulkan kemarahan penyokong parti pembangkang Johor, yang mempersoalkan sama ada isu itu sesuai dibangkitkan di parlimen.

Ketua Pembangkang Johor, Hasni Mohammad cuba membawa perkara itu di Dewan Undangan Negeri semalam dengan mengemukakan usul tergempar.

Bagaimanapun speaker Johor, Suhaizan Kaiat menolak usul berkenaan, sebaliknya meminta kerajaan negeri memberikan jawapan ketika ucapan penggulungan titah sultan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ketika ditanya mengenai perkara itu di lobi parlimen semalam, enggan mengulas lanjut.

Lihat Komen
ADS