Seramai 22 wanita rakyat asing ditahan disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dengan menawarkan khidmat seks ‘pakej penuh’ RM220 sekali langgan, di empat premis sekitar Puchong, malam tadi.
Semua mereka ditahan dalam operasi kira-kira dua jam bermula 10.30 malam oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang menyaksikan serbuan premis di Jalan Puteri 1/4, Jalan Puteri 1/8, Jalan Puteri 5/2, Bandar Puteri dan One Puchong Business Park, Puchong.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata kesemua wanita yang ditahan itu berumur antara 19 dan 43 tahun.
“Premis juga didapati menggunakan modus operandi dengan beroperasi di kawasan deretan kedai yang dikelilingi restoran.
“Hasil siasatan mendapati, penjaga premis ini mempergunakan gadis Vietnam, Indonesia dan Thailand dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi.
Rohaimi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 11 rakyat Vietnam, lima China, empat Indonesia dan dua Thailand.
Selain itu, polis turut menahan lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis berumur 26 hingga 41 tahun.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK) kerana terlibat kegiatan persundalan selain Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH).
Siasatan mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 juga dibuat terhadap wanita rakyat asing atas pelbagai kesalahan Imigresen, katanya.
- Bernama
