Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pemandu Ku Nan tak ingat jika ada tunaikan cek lain

Bekas pemandu kepada Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu mahkamah hari ini bahawa bekas menteri itu telah meminta beliau membantu menunaikan cek berjumlah RM2 juta.

Bagaimanapun, Nik Yahaya Nik Mustapha berkata dia tidak dapat ingat bilakah dalam keadaan lain dia menunaikan cek bagi pihak setiausaha agung BN itu.

Pihak pendakwaan mendakwa cek daripada pemaju, Aset Kayamas Sdn Bhd kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang dimiliki Tengku Adnan adalah satu bentuk rasuah.

Ini berlaku selepas Tengku Adnan didakwa meminta dana pilihan raya kecil daripada pemilik Aset Kayamas, Chai Kin Kong.

Nik Yahaya pernah berkhidmat sebagai pemandu anggota parlimen Putrajaya itu selama 24 tahun sehingga Jun 2018.

Dalam kenyataan saksinya, beliau berkata Tengku Adnan memberinya cek bernilai RM2 juta di pejabatnya pada 14 Jun 2016.

Cek tersebut ditunaikan ke akaun Tadmansori pada hari yang sama.

Nik Yahaya berkata dia adalah individu yang menulis nombor akaun Tadmansori, serta nombor telefon sendiri, di belakang cek tersebut.

Semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan diketuai peguam Tan Hock Chuan, pemandu merangkap pengawal itu berkata Tengku Adnan adalah seorang yang murah hati, tetapi tidak ingat jika ada menunaikan cek yang lain bagi pihaknya.

Tan: Datuk Seri seorang yang generous, murah hati?

Nik Yahaya: Ya, saya setuju

Tan: Beliau suka tolong orang lain?

Nik Yahaya: Ya, saya setuju.

Tan: Selaku pemandu dan pengawal peribadi, pernah diminta untuk bawa cek ke bank dan tunaikan cash untuk Datuk Seri?

Nik Yahaya: Saya tak ingat

Tan: Secara am sahaja, bukan kejadian spesifik. Sebagai driver/bodyguard, biasa untuk majikan suruh cash cek (tunaikan cek)?

Nik Yahaya: Tak ingat.

Bekas pemandu itu kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ingat bilakah sebenarnya cek itu ditunaikan.

Setelah pemeriksaan semula, Nik Yahaya mendedahkan dia hanya tahu cek itu didepositkan pada 14 Julai 2016 kerana tarikh yang ditulis di bahagian hadapan cek berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Tan Eng Boon berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur pada 2013.

Lihat Komen
ADS