Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Wanita temui Badan Peguam bincang isu gangguan seksual

Persatuan Peguam Wanita (AWL) akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor, untuk membincangkan bagaimana isu gangguan seksual dalam kalangan pengalam undang-undang perlu ditangani.

Presidennya, Sheena Gurbakhash, berkata Abdul Fareed sudah memberikan persetujuan kepada AWL untuk membincangkan isu berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tarikh atau agenda pertemuan itu belum ditetapkan.

"Sebaiknya kami inginkan komitmen dan pelan tindakan yang serius untuk menangani isu gangguan dan masalah ketidakadilan gender dalam Badan Peguam," katanya ketika dihubungi.

Antara isu yang menjadi perhatian, kata Sheena, ialah mewujudkan kod etika bagi mengekang gangguan untuk diamalkan semua firma guaman, dan meningkatkan kesedaran mengenai isu itu serta sokongan institusi ke atas mangsa.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Majlis Peguam bagi memastikan amalan guaman lebih selamat dan inklusif buat semua," katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat mengenai seorang peguam wanita mendakwa dia diraba peguam lain semasa majlis keraian pada 22 Jun lalu.

Suspek terbabit ditahan dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Susulan laporan polis tersebut lebih ramai peguam wanita tampil untuk berkongsi pengalaman masing-masing yang berdepan dengan gangguan seksual oleh kalangan yang sama profesyen dengan mereka.

Satu kaji selidik membabitkan peguam di Kuala Lumpur dan Selangor oleh AWL mendapat, seorang daripada tiga peguam - lelaki dan wanita - pernah mengalami gangguan seksual dan isu berkaitan jantina semasa bertugas.

Data itu selaras dengan keadaan dialami di peringkat global. Kajian Persatuan Badan Peguam Antarabangsa yang dibentangkan pada Mei lalu menyatakan, satu per tiga peguam wanita di 135 negara yang ditemui mengaku pernah berdepan gangguan seksual semasa bekerja.

Ekoran insiden itu Abdul Fareeh berkata Badan Peguam Malaysia tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana kes gangguan seksual.

Menurut Sheena, Majlis Peguam mempunyai mekanisme sendiri untuk menguruskan aduan gangguan seksual namun ia tidak digunakan serta tidak diketahui secara meluas.

"Keadaan ini perlu diubah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS