Paling Popular
Terkini

Kerajaan akan menguatkuasakan pengutipan bayaran levi daripada seseorang yang mahu melakukan perjalanan ke luar negara mulai September ini kata Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah.

Bagaimanapun, Amiruddin berkata, kerajaan masih belum memutuskan mekanisme pelaksanaannya serta sama ada kadar yang dikenakan berbeza mengikut kelas penerbangan atau tidak.

“Memang ada cadangan (membezakan kadar levi mengikut kelas penerbangan), dan kementerian akan memberi pertimbangan.

“Kerajaan juga ada menerima beberapa cadangan lain. Semua itu akan diambil kira dan dibentangkan kepada kabinet untuk diputuskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada kadar levi pelepasan bagi semua penumpang udara akan diasingkan mengikut kelas penerbangan yang berbeza.

Pada 28 Jun lalu, portal The Edge Markets yang memetik sumber melaporkan, kadar pelepasan udara untuk penerbangan ke negara Asean dan lokasi lain akan diasingkan mengikut kelas ekonomi dan perniagaan.

Portal itu melaporkan, levi pelepasan bagi kelas ekonomi dijangka ditetapkan pada kadar RM8, manakala kelas perniagaan dan kelas pertama ialah RM20 untuk penerbangan ke negara Asean.

Bagi penumpang yang mahu ke negara lain levi yang akan dikenakan ialah RM50 untuk kelas ekonomi dan RM150 untuk kelas perniagaan dan kelas pertama.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara Asean dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.

Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu.

RUU Levi Pelepasan itu antara lain mengadakan peruntukan bagi pengenaan levi pelepasan bagi orang yang meninggalkan Malaysia dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Di bawah RUU itu juga hukuman akan dikenakan kepada mana-mana individu yang menghalang pegawai kastam bertugas termasuk mencabul atau mengancam nyawa mereka.

Lihat Komen
ADS