PAS memberi amaran kepada kerajaan supaya jangan berdalih dengan pelbagai alasan berikutan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen kerana segala kelemahan dan kesilapan dalam menyelesaikan masalah kewangan negara telah diketahui rakyat.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menaikkan harga keperluan rakyat tanpa bertindak tegas terhadap penyelewengan sehingga menyebabkan wang negara semakin merosot.

Menurut beliau, PAS akan meneruskan demonstrasi secara aman bagi membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga minyak yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan mengambil jalan mudah menaikkan harga minyak sebaliknya tiada tindakan bersungguh-sungguh diambil untuk menangani isu rasuah dan mengambil tindakan terhadap pemimpin tertentu yang terlibat dengan gejala tersebut.

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media setelah selesai mempengerusikan mesyuarat bulanan AJK PAS Pusat, di pejabat Agung PAS, Taman Melewar, di Kualau Lumpur semalam. Turut bersama beliau, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Menurut laporan Harakahdaily.Net, Abdul Hadi berkata, PAS kesal dengan kenyataan pimpinan kerajaan yang tidak bersetuju rakyat mengadakan demonstasi sebaliknya mengugut mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja terbabit.

"Inikah amalan negara demokrasi kalau menujuk perasaan secara aman itu dihalang, ini petanda yang sangat buruk terhadap sistem demokrasi di Malaysia," jelasnya.

Menurut beliau, PAS berharap kerajaan tidak mudah `melatah' dengan bantahan rakyat sebaliknya perlu membetulkan keadaan sama ada membuat perubahan dalam kerajaan serta bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan penyelewengan melesapkan wang negara.

"Saya melihat keadaan hari ini tidak ada kehebatan, saya minta mereka tunjukkan kehebatan bukan menekan rakyat tapi bertindak terhadap pelaku rasuah serta mereka yang melakukan penyelewengan terhadap kewangan negara," tegas beliau.

Abdul hadil kesal dengan sikap dan tindakan pimpinan kerajaan Barisan Nasional yang menggunakan media untuk `membutakan mata' rakyat supaya rakyat menjadi bodoh tidak dapat berfikir dengan cara yang baik.

Mengulas tindakan pihak polis yang bertindak ganas dalam demonstrasi aman minggu lalu beliau berkata, itu menunjukkan sikap tidak matang kerajaan dalam menghadapi masalah dengan mengenakan tindakan zalim terhadap rakyat yang membantah keputusan kerajaan.

Kata beliau, sepatutnya segala tindakan pihak polis perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Penambahbaikan Polis Diraja Malaysia supaya mereka tidak mengganggu kebebasan rakyat malangnya, suruhanjaya itu tidak dihormati.