Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pada sidang Dewan Rakyat kali ini, kerajaan bakal mengemukakan usul menurunkan had umur mengundi 18 tahun. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengesahkan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 4 Julai, bertujuan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi.

Hak seseorang rakyat untuk mengundi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun, bermastautin di sesuatu kawasan pilihan raya pada tarikh kelayakan dan sudah didaftarkan dalam daftar pemilih, layak dan berhak untuk mengundi dalam menentukan wakil rakyat ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri melalui amalan demokrasi sistem pilihan raya. 

Ketika ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq telah melobi jemaah menteri dan menyokong gerakan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun. 

Gerakan ini, yang dikenali sebagai Undi18, menyatakan bahawa seramai 1.5 juta rakyat Malaysia yang sudah dewasa tidak boleh mengundi kerana belum mencapai umur 21 tahun. 

Syed Saddiq dan gerakan Undi18 ini mahu Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk merendahkan umur layak mengundi kepada 18 tahun. Usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Pertama, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia melihat usaha ini bermotifkan populis kerana kegagalan Pemuda Pakatan Harapan (PH) untuk merealisasikan janji-janji manis Manifesto Pakatan Harapan kepada anak-anak muda.

Anak-anak muda masih merintih agar Pemuda PH melunaskan janji manifesto kepada anak muda di Malaysia. Janji PTPTN masih kabur dengan pelbagai kajian yang masih dibuat selama lebih setahun memegang tampuk kuasa. Pelbagai pusingan U dibuat apabila pelbagai usul tidak masuk akal diumumkan kepada rakyat.

Anak-anak muda juga masih merintih tentang peluang pekerjaan. Dijanjikan di dalam manifesto untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan kepada anak muda, ditambah dengan 200,00 peluang pekerjaan kepada anak muda di Sabah dan Sarawak. Sehingga hari ini, ramai anak muda masih menganggur. 

Pengaliran keluar pelaburan syarikat bertaraf dunia bukan saja memburukkan keadaan ekonomi Malaysia, tetapi mengurangkan lagi peluang pekerjaan. Ramai anak muda yang berkebolehan diberhentikan pekerjaan. 

Inilah yang seharusnya diperjuangkan oleh Syed Saddiq selaku menteri, tetapi umum mengetahui kegagalan beliau dalam merealisasikan iltizam PH kepada anak muda. 

Maka ini rentak populis untuk menutup kelemahan mereka.

Beza sistem pendidikan

Kedua, sistem pendidikan Malaysia berlainan dengan sistem pendidikan negara luar yang menurunkan had mengundi rakyat mereka.
Anak-anak kita di Malaysia melalui sistem persekolahan sekolah rendah dan menengah hingga mencapai umur 17 tahun. Ketika di sekolah rendah dan menengah, kebanyakan pembelajaran berorientasikan pembelajaran di dalam kelas dan peperiksaan yang menuntut pelajar-pelajar fokus kepada pembelajaran mereka. 

Di sebalik kesibukan belajar, mereka tidak mungkin mempunyai masa terluang untuk mendalami isu-isu politik tanah air yang bercelaru. Keutamaan anak-anak kita pada waktu ini adalah untuk mendapatkan keputusan pendidikan yang cemerlang. 

Politik anak-anak muda pada waktu ini adalah pendedahan awal sistem demokrasi dengan memilih ketua pengawas, ketua badan beruniform, dan ketua persatuan.

Habisnya alam persekolahan, mereka akan memasuki univesiti di mana mereka berdepan cabaran sebenar seperti menguruskan kewangan. Ketika ini mereka juga perlu menggunakan wang secara berhemat, terutama yang dipinjam daripada PTPTN. 

Kita lihat di alam universiti, pelajar mula terpengaruh dengan idealogi politik secara mengikut perasaan, bukan secara pemikiran matang. Sejarah menunjukkan ramai aktivis pelajar berhadapan liku mencabar untuk menamatkan pembelajaran universiti apabila diperdaya dan menjadi alat kepada golongan politikus berkepentingan. 

Contoh terbaru, berapa ramai pelajar universiti yang berdemonstrasi membantah PTPTN sebelum PRU-14? Akhirnya, walaupun pemimpin mereka pada hari ini memegang tampuk kuasa, isu PTPTN masih tidak selesai, malah bertambah buruk. 

Jelas pelajar-pelajar universiti sekitar umur 18 tahun dijadikan alat politik untuk mereka berkuasa.

Cabaran sebenar kehidupan adalah apabila mereka keluar daripada universiti dan mula bekerja sekitar umur 21 tahun. Cabaran sebegini mematangkan pemikiran anak-anak muda dalam aspek pengurusan diri, keluarga dan kewangan kerana mereka tidak lagi bergantung harap kepada orang lain. 

Sebagai contoh, ketika inilah mereka faham apa itu cukai apabila ia dikenakan kepada gaji hasil titik peluh diri sendiri. Ketika mendapat elaun PTPTN dahulu, cukai pendapatan tidak dikenakan. 

Ketika umur 21 tahun juga mereka faham apa itu cukai SST apabila berbelanja dengan duit sendiri. Ketika umur 21 tahun juga mereka faham apa itu janji manifesto yang tak tertunai apabila peluang pekerjaan dilihat sangat terhad kepada anak muda.

Pendaftaran automatik dulu

Ketiga, kerajaan seharusnya mengusulkan pendaftaran secara automatik kepada setiap warganegara yang mencapai umur 21 tahun. Fakta menunjukkan masih ramai anak muda berumur 21 tahun yang tidak mendaftar sebagai pengundi pada PRU-14. 

SPR tidak melaksanakan sistem pendaftaran secara automatik dengan alasan kesulitan sistem itu sendiri. Sistem pendaftaran pemilih yang diguna pakai oleh SPR berdasarkan alamat bermastautin yang tertera di kad pengenalan dan disemak secara on-line dengan sistem ALIS yang disediakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Kaedah pendaftaran ini membolehkan pemilih mengundi di kawasan mengikut alamat dalam kad pengenalan masing-masing. Berdasarkan SPR, ini akan menimbulkan kesulitan kepada pemilih berdaftar yang tidak menukar atau mengemas kini alamatnya dalam kad pengenalan jika dia telah berpindah ke tempat lain.

Seharusnya SPR mencari jalan penyelesaian kepada masalah sistem ini. Cadangan penambahbaikan adalah dengan memberikan notifikasi secara atas talian (email) dan sistem pesanan ringkas SMS setelah pendaftaran dibuat secara automatik. 

Setiap individu yang menukar alamat di kad pengenalan harus sedar bahawa mereka menukar tempat mengundi juga. Mengikut logik, kita mahu memilih pemimpin yang mewakili tempat kita bermastautin agar segala kegusaran dapat disalurkan kepada pemimpin tempatan ke Dewan Rakyat.

Maka Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berpendapat isu mengenai penurunan had umur ini tidak disampaikan serta diperjelaskan secara terus kepada rakyat.

Tiada konsultasi awam melalui sesi-sesi seperti town hall atau forum di mana kerajaan pada hari ini dapat menerima pendapat masyarakat mengenai isu ini. 

Tinggal beberapa hari lagi usul ini akan dibentang, jelas kita kesuntukan masa. Diharapkan ahli Dewan Rakyat blok pembangkang, terutama PAS dan Umno bertindak dengan bijaksana mengenai isu ini.


SHAHIR ADNAN ialah ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS