Pensyarah dakwa diugut lepas berbalah dengan Kadir
Seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendakwa menerima ugutan daripada pihak tertentu selepas berlaku perbalahan di laman Facebook dengan penulis blog, A Kadir Jassin.
Perbalahan berkaitan isu Khazanah Nasional dan penjualan aset negara turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Malaysiakini merangkumkan perbalahan selama tiga hari itu sebelum memasukkan beberapa perkara sebagai konteks.
Rangkuman
Kejadian itu bermula apabila pensyarah sains politik UKM, Abdul Muein Abadi membuat hantaran di Facebook pada Selasa mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah menjual lebih RM20 bilion aset negara.
Beliau menyenaraikan penjualan pelaburan Khazanah di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), termasuk penjualan syarikat insurans Turki Acibadem Sigort; Axiata milik syarikat telco M1 kepada Singapura; saham Tenaga Nasional Berhad; dan saham CIMB.
Kadir, yang juga penasihat media kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberikan maklum balas semalam dengan mendakwa seorang pensyarah, tanpa menyebut namanya, "menaburkan fitnah dan kepalsuan".
"Kalau ia pun kerajaan PH jual aset, ia adalah aset perniagaan yang memang boleh dijual beli," katanya.
Beliau menambah aset-aset berkenaan terpaksa dijual kerana masalah yang ditinggalkan pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak.
"Kerajaan PH dan GLC terpaksa jual aset kerana Najib tinggalkan najis kewangan yang bertimbun kerana dia nak jadi raja dengan menggunakan duit. Malang bagi raja duit rakyat tolak dia," katanya.

