Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita Filipina dakwa 'diseksa' di depoh tahanan Imigresen
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 11:51 AM
Dikemaskini: 7:21 AM

Sekumpulan wanita Filipina menceritakan detik ngeri yang mereka dakwa dialami bersama anak-anak mereka ketika berada di depoh tahanan sebelum di hantar pulang ke negara asal.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman web kumpulan advokasi Migrante International, wanita berkenaan mendakwa menghabiskan beberapa minggu dalam ketakutan dan "seksaan" sebelum dapat kembali ke tanah air sendiri dan bertemu keluarga.

Malah, kumpulan wanita berkenaan mendakwa empat kanak-kanak yang bersama dengan mereka mengalami keletihan selain semua barangan mereka disita oleh pegawai warden dan Imigresen di Bukit Jalil.

Kumpulan wanita berkenaan kembali ke Filipina dengan dibantu oleh sukarelawan dan kakitangan dari Migrante International dan Churches Witnessing with Migrants (CWWM).

Organisasi-organisasi berkenaan bekerja rapat dengan Tenaganita, kumpulan sokongan migran yang berpusat di Malaysia.

Ralyn bukan nama sebenar, memberitahu bagaimana tahanan diberi makanan basi, selain sering diperiksa secara rawak.

Selain itu katanya, tahanan juga dibiarkan terbaring di lantai sejuk dan keras selain mendakwa sel-sel tahanan itu kotor, sempit dan tidak dibenarkan menggunakan tikar sebagai alas tidur.

Katanya lagi, tahanan imigresen hanya mempunyai satu set pakaian yang harus dibasuh dan dipakai setiap hari.

"Kami memakai pakaian yang sama yang kami pakai pada waktu malam kami ditangkap," kata seorang lagi tahanan.

"Hak kami sebagai manusia dilanggar dan kami diperlakukan seperti haiwan, semua kanak-kanak sentiasa dalam ketakutan," kata Ralyn.

Kumpulan wanita itu juga mendakwa seorang tahanan perempuan dari Kenya yang menunjukkan tanda-tanda psikosis dengan kedua tangan terikat di dinding dibiarkan berdiri sepanjang hari.

Susulan dakwaan itu, Jabatan Imigresen mengumumkan memberi keutamaan kepada siasatan yang melibatkan kanak-kanak asing berkuatkuasa serta merta.

"Pada masa lalu, (siasatan) adalah mengikut giliran ketika operasi dijalankan setiap hari. Selepas ini, jika ada tahanan yang melibatkan kanak-kanak, kami akan segera menyiasat tanpa mengikut giliran," kata ketua pengarah Khairul Dzaimee Daud.

Khairul berkata pada masa ini terdapat 363 kanak-kanak asing berusia di bawah 12 tahun yang ditahan di depoh tahanan di seluruh negara.

Malaysiakini cuba menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS