Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had umur belia di S'wak kekal 40, kata Abang Johari
Diterbitkan:  Jul 6, 2019 10:36 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Sarawak kekal dengan definisi had umur belia iaitu 40 tahun meskipun kerajaan persekutuan menurunkannya kepada 30 tahun, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Beliau berkata, Sarawak tidak perlu menuruti kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dalam mengubah perkara itu.

“Pada masa ini had umur belia di Sarawak ialah 40,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today, hari ini.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang dibentang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

RUU itu antara lain menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Selain itu ia juga menjadikan tempoh pemegang jawatan dalam pertubuhan belia tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikan.

Menurut Utusan Borneo dua hari lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pindaan itu hanya terpakai di negeri itu jika diluluskan DUN.

"Bagaimanapun untuk dikuat kuasakan di Sarawak, ia perlu diterima pakai oleh Sarawak kerana definisi belia merupakan subjet di bawah Senarai Bersama, Perlembagaan Persekutuan," katanya seperti dipetik.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) setuju had umur layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Beliau berkata penurunan had usia mengundi itu bukan satu masalah dan selaras dengan negara-negara lain.

“Sekiranya dunia membolehkan mereka yang berumur 18 mengundi, jadi tak ada masalah jika kita pun mengikut sama,” katanya lagi.

Namun pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri menggesa pendaftaran automatik pengundi dilaksanakan - sama seperti syarat yang dikemukakan pembangkang bagi menyokong pindaan itu.

“Pengundi boleh buat keputusan sama ada mereka mahu mengundi atau tidak, asalkan nama mereka ada dalam senarai.

“Kita perlu bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Sebaik sahaja seseorang mencapai umur 18, mereka perlu didaftarkan secara automatik,” katanya.

RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi dibentang untuk bacaan pertama oleh Syed Saddiq Khamis lalu.

Ia memerlukan sokongan dua pertiga anggota parlimen untuk diluluskan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS