Kerajaan dijangka memulakan projek perintis untuk alternatif kepada program tahanan dan jika projek itu berjaya, ratusan kanak-kanak di pusat tahanan imigresen seluruh negara boleh dibawa keluar.
Prosedur operasi piawai (SOP) projek itu - yang melibatkan pemindahan kanak-kanak di pusat tahanan ke pusat lindungan NGO - akan dimuktamadkan hujung bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sejumlah 363 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun kini ditahan di pusat tahanan imigresen sementara menunggu status imigresen mereka dipastikan.
"Depot (imigresen) bukan tempat untuk kanak-kanak dan (mereka) tak patut ditahan atas kesalahan imigresen jika ada alternatif yang lebih baik.
"Kementerian saya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri ke arah tiada tahanan kanak-kanak di Malaysia," katanya yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat kepada Malaysiakini.
Kenyataan itu susulan kritikan terhadap amalan Jabatan Imigresen, selepas pembebasan dua kanak-kanak yang ditahan tanpa ibu mereka - yang memiliki visa yang sah - di depot Imigresen Bukit Jalil sejak 14 Jun.

Menurut Wan Azizah, program perintis itu melibatkan pembebasan lima kanak-kanak dari pusat imigresen pada satu masa untuk ditempatkan di pusat lindungan NGO.
"Ketika mereka di pusat lindungan NGO, usaha akan dibuat sama ada untuk mencari keluarga mereka atau membuat aturan dengan kedutaan untuk memulangkan mereka atau keluarga ke negara asal," katanya.
Kanak-kanak akan dipilih melalui penilaian yang dirangka Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan perbincangan dengan pekerja sosial.
Selain menjaga kanak-kanak, beliau berkata alternatif kepada penahanan juga akan menurunkan kos dan beban Jabatan Imigresen.
Bulan lalu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata kerajaan membelanjakan hampir RM3.5 juta setiap bulan untuk makanan imigran tanpa dokumen dalam tahanan.
Projek perintis itu sudah dibangunkan sejak lima tahun lalu tetapi ia sentiasa dipindahkan (bouncing back) antara agensi, kata aktivis hak asasi kanak-kanak, Hartini Zainuddin.
Beliau berkata kanak-kanak kini ditempatkan dalam keadaan yang menyedihkan, dengan kanak-kanak lelaki berusia lebih 12 tahun ditahan di tempat sama dengan lelaki dewasa.
Tahanan imigresen dibahagikan mengikut jantina dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ditempatkan bersama ibu mereka. Kanak-kanak tanpa ibu atau bapa juga ditempatkan bersama tahanan perempuan.
Tetapi kanak-kanak lelaki berusia 12-17 tahun ditempatkan bersama lelaki dewasa kerana mereka dianggap tidak sesuai untuk ditahan bersama perempuan dan kanak-kanak yang lebih muda.
Susulan pembebasan dua kanak-kanak itu, Jabatan Imigresen berkata pihaknya akan mengutamakan kes melibatkan kanak-kanak agar mereka tidak ditahan terlalu lama.
Jabatan itu juga menunjukkan gambar memaparkan mereka bermain di tempat asuhan kanak-kanak di pusat tahanan.
Bukan penempatan semula sahaja
Pengarah Eksekutif kumpulan hak kanak-kanak Suka Society Anderson Selvasegaram berkata ia harus dipuji, tetapi menyifatkan keadaan atau tempoh tahanan bukanlah isu memandangkan kanak-kanak memang tidak patut ditahan.

Katanya, kanak-kanak lebih terdedah kepada risiko trauma psikologi walaupun ditahan di tempat yang selesa, berbanding orang dewasa.
Ia termasuklah kesan emosi jangka panjang, yang ditunjukkan menerusi cubaan bunuh diri, kelakuan antisosial dan kemerosotan dalam perkembangan mental, katanya.
"Bagi sesetengah orang, ditahan satu hari pun boleh menjadi terlalu traumatik," katanya, sambil menambah ketidaktentuan yang dihadapi tahanan di pusat imigresen lebih teruk bagi tahanan muda yang tiada kematangan emosi untuk menghadapinya.
Berbeza dengan pelaku kesalahan juvana, tahanan imigresen kanak-kanak tiada risiko ancaman terhadap masyarakat, katanya lagi.
"Realitinya, anak-anak ini di Malaysia kerana dibawa ibu bapa atau (dalam kes tahanan tanpa ibu bapa) mereka diatur untuk dibawa ke sini."
Beliau berkata alternatif untuk program tahanan bukan tentang pemindahan kanak-kanak ke satu lagi tempat yang dikawal, tetapi untuk menyediakan persekitaran yang baik untuk mereka.
Secara ideal, katanya, ia bermakna meletakkan kanak-kanak terbabit di bawah penjaga di kalangan komuniti mereka.
"Kita mahu memberikan persekitaran yang normal kepada kanak-kanak ini, dan untuk kebanyakan kita, normal bermakna bersama keluarga dan bukan rumah perlindungan kanak-kanak," katanya.
Pada Januari lalu, Suhakam menggesa kerajaan menyemak semula semua undang-undang yang meletakkan kanak-kanak ditahan tanpa bicara.
Suhakam berkata menahan kanak-kanak bertentangan dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang disertai Malaysia.
