Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO lapor polis dokumen bertandatangan palsu dalam kes Najib
Diterbitkan:  Jul 6, 2019 11:53 PM
Dikemaskini: 3:54 PM

Sebuah NGO membuat laporan polis berhubung dokumen tertera tandatangan palsu yang dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa menyalhgunakan dana SRC International Sdn bhd.

Aktivis, A'zlan Muhammad Abu Bakar dari Gerakan Tuntut Malaysia mendakwa saksi ke 42 pendakwaan, Suboh Md Yasin secara terbuka mengakui 17 tandatangan di dalam Arahan Perbankan yang dihantar kepada Bank AMIslamic melibatkan pemindahan wang berjuta ringgit bukanlah tandatangan beliau.

A'zlan dalam laporan polisnya mendakwa keterangan Suboh menunjukkan dokumen yang mempunyai tandatangan palsu bertujuan untuk "mengenakan" Najib.

Beliau juga menggesa polis menyiasat mengapa pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuat laporan polis mengenai pemalsuan tandatangan dalam dokumen berkenaan yang dikemukakan kepada bank.

Ini katanya walaupun setelah kedua-dua pihak diberitahu bahawa tandatangan saksi telah dipalsukan.

"Malah 17 dokumen terbabit turut dikemukakan oleh pendakwa raya kepada mahkamah sebagai bukti kes walaupun sudah diberitahu terlebih dahulu dokumen mengandungi tandatangan yang dipalsukan," katanya.

Minggu lalu mahkamah digemparkan dengan keterangan saksi pada perbicaraan Najib yang melibatkan dakwaan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.

Suboh yang memetik peribahasa Cina menyifatkan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil sebagai ada "gunung di belakangnya" dan berani bertindak kerana kedudukannya dalam syarikat itu.

Beliau juga mendakwa tandatangannya mungkin dipalsukan pada dokumen bank yang berkaitan dengan pemindahan dana melibatkan berjuta-juta ringgit dari SRC untuk dua anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd. 

Lihat Komen
ADS