Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan negeri akan merangka Pelan Pembangunan Bandar Pasir Gudang Yang Lestari sebagai langkah jangka masa panjang untuk mengatasi isu pencemaran alam sekitar di kawasan itu.

Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal, berkata dalam pelan itu kerajaan Johor akan memperhalusi cadangan penempatan semula kilang-kilang kimia yang berisiko tinggi serta mewujudkan zon penampan di antara kawasan industri dengan petempatan orang ramai.

“Langkah-langkah di atas menterjemahkan kerajaan Johor serius mengatasi isu pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang untuk jangka masa panjang,” kata beliau dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Dr Sahruddin, selain pelan itu, dua jawatankuasa juga akan ditubuh bagi memantau pencemaran di Pasir Gudang.

Katanya, satu daripadanya ialah Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Saintifik yang akan menyelaras, mengawasi dan mengesan impak yang bakal berlaku di Pasir Gudang.

Jawatankuasa itu yang disertai pelbagai jabatan teknikal dan pakar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga akan memperkasa aktiviti penguatkuasaan kepada kilang-kilang haram.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemantauan pula ditubuhkan bagi melaporkan status terkini tahap pencemaran di Pasir Gudang dan akan dianggotai oleh wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (Pagema).

“Kedua-dua jawatankuasa ini akan bermesyuarat secara berkala dan memberi laporan terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar pada setiap bulan,” katanya.

Sejak insiden pencemaran di Pasir Gudang bermula Mac lalu, ramai pihak bangkit dan mula berbahas tentang isu pencemaran, bukan sahaja dari wakil parti pembangkang malah dari pihak kerajaan sendiri.

Katanya, terdapat banyak juga cakap-cakap mengatakan dirinya tidak mengambil berat tentang isu pencemaran yang sedang berlaku.

“Sebenarnya kerajaan Johor tidak pernah memandang remeh kejadian pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang.

"Dalam kes Sungai Kim Kim, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM6.4 juta untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa toksik di kawasan itu.

“Dalam isu pencemaran udara di Pasir Gudang baru-baru ini, saya tidak berlengah-lengah dan tidak mengambil pendekatan lepas tangan.

“Sejurus selamat pulang ke tanah air dari mengerjakan umrah, saya segera turun padang untuk melawat mangsa yang terjejas. Saya telah meminta semua agensi kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu penduduk Pasir Gudang, khususnya dalam kalangan kanak-kanak sekolah,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS