Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebutan semula kes Lokman Adam serang pelajar 19 Ogos

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes membabitkan Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor bersama empat yang lain atas dakwaan mencederakan penuntut Universiti Malaya (UM) Mac lalu.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan laporan perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kepada pihak pembelaan.

Dalam prosiding itu, Tawfiq berkata Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed memaklumkan laporan perubatan masih belum diterima untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Namun, pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan termasuk laporan polis kesemua mangsa dalam kes ini.

Pada 28 Mac lalu, Lokman, 46 serta Ketua Umno Petaling Jaya, Abdul Mutalif Abdul Rahim, 48; kerani di pejabat Umno Lembah Pantai, Salmon Arif Budiman Muchlis, 48 dan penghantar surat firma guaman, Mohd Norzakifah Mohammed Nawi, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik kesemua tuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kerugian kepada penuntut UM, Wong Yan Ke, 23, dengan mengoyakkan plakad milik mangsa di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal di Jalan Pantai Baharu, jam 3.30 petang, 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala Abdul Mutalif yang bersama Lokman dalam insiden itu didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa atas dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelajar pelatih Malaysiakini, Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pada ibu jari tangan kanan mangsa dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama, di tempat sama, jam 3.45 petang, pada 22 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan Abdul Mutalif boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya bagi Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Lokman, Abdul Mutalif, SalmonArif dan Mohd Norzakifah didakwa bersama dengan seorang yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang menyebabkan kecederaan kepada Yang Ke, dengan cara memegang rahang dan menarik leher mangsa dari arah belakang.

Mereka turut dituduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas kerana menarik rambut mangsa sama dari arah belakang di perhentian bas di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu di Kuala Lumpur, 22 Mac lalu, pada jam 3.30 petang.

Bagi kedua-dua kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam N Logendran dan Azrul Zulkifli Stork masing-masing mewakili Lokman dan Abdul Mutalif, manakala peguam M Reza Hassan, bertindak bagi pihak Salmon Arif dan Mohd Norzakifah. Barisan peguam ini tidak membantah permohonan untuk pengurusan kes seterusnya.

Media sebelum ini melaporkan, insiden tolak-menolak antara penuntut UM dengan penyokong bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan Lokman, Abdul Mutalif dan dua yang lain ketika program Najib bersama sekumpulan mahasiswa UM di Pantai Baharu, pada 22 Mac lalu.

Ketika kejadian, Najib dikatakan sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan.

Kekecohan itu timbul apabila penyokong Najib cuba menghalang sekumpulan pelajar yang mengangkat plakad tertera gambar karikatur badut.

Lokman juga dilaporkan menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai pendakwaan terpilih dan "berniat jahat".

Katanya, ini kerana pelajar UM yang membuat protes terhadap bekas perdana menteri Najib Razak ketika kejadian tidak didakwa walaupun tidak memberi notis kepada polis seperti yang dinyatakan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Lihat Komen
ADS