Terjemahan Syarikat minyak negara, Petronas menduduki tangga terakhir dalam senarai kaji selidik " syarikat-syarikat minyak paling berdaya tahan dan beretika di dunia" yang dijalankan oleh sebuah agensi penarafan Sepanyol.

Kaji selidik itu merangkumi 15 syarikat minyak dunia dan ini adalah kali pertama Petronas disenaraikan dalam kajian tersebut.

Kaji selidik tahunan itu dijalankan oleh firma Management & Execellence (M&E). Firma ini menjalankan kaji selidik berkenaan sejak tiga tahun lalu yang menilai dan membandingkan tahap pematuhan sesebuah syarikat itu terhadap 280 piawaian antarabangsa berhubung ketelusan, urus tadbir korporat, tanggungjawb sosial dan etika.

Senarai kedudukan terbaru itu yang dikeluarkan pada bulan lalu meletakkan syarikat minyak Shell di tangga teratas untuk tahun ketiga berturut-turut. Di tangga kedua ialah British Petroleum (BP) dan syarikat minyak Brazil, Petrobas di kedudukan ketiga.

Petronas, yang pertama kali dimasukkan dalam senarai itu memperolehi markah 20.15 peratus.

"Berdasarkan kaji selidik kami, tiada syarikat minyak lain yang setelus Shell. Syarikat ini telah menerbitkan 13 laporan berasingan merangkumi pelbagai tajuk dari kesan alam sekitar hingga ke ujikaji terhadap binatang,"kata M&E.

Menurut kajiselidik itu, markah yang diperolehi Shell meningkat daripada 82 peratus kepada 89 peratus. Shell juga menurut M&E telah menyokong 12 kod hak asasi manusia dan lembaga pengarahnya bermesyuarat sebanyak 29 kali pada tahun 2004 berbanding BP yang hanya sebanyak lapan kali sahaja.

"Shell juga menyediakan saluran untuk kakitangannya membuat aduan atau melahirkan rasa tidak puas hati di lebih 50 negara dan melaksanakan 120 projek bio-diversiti di seluruh dunia," kata firma itu lagi.

Petrobras pula melonjak dari tempat ketujuh sebelumnya kepada tangga ketiga pada tahun 2005 manakala ExxonMobil yang menduduki tempat kedua sebelum ini jatuh ke kedudukan kesembilan.

M&E menjelaskan, kedudukan ExxonMobil jatuh teruk kerana ia memberi maklumat yang sedikit berhubung penilaian pencapaian kakitangan dan pengurusan pembekalnya.

Petrobras mendapat markah tinggi dalam aspek tanggungjawab sosial dengan melabur dalam projek alam sekitar dan melancarkan program "sifar kelaparan" dengan menukar stesen minyaknya menjadi sebuah sekolah melatih anak-anak muda.

M&E, salah sebuah syarikat paling awal menjalankan penyelidikan dan penilaian terhadap daya tahan dan etika syarikat-syarikat minyak berkata, secara umumnya banyak syarikat yang disenaraikan telah menunjukkan kemajuan dalam soal ketelusan.

Syarikat minyak Russia, Lukoil misalnya berjaya menambah markah sebanyak 23 peratus daripada 35 peratus kepada 58.61 peratus.

Petronas sejak sekian lama sering dikritik oleh pelbagai pihak di negara ini terutamanya parti-parti pembangkang kerana tidak mendedahkan akaunnya untuk pemeriksaan.

Syarikat minyak nasional ini juga dikecam kerana membenarkan dananya digunakan oleh kerajaan untuk membiayai projek-projek mega dan menyelamatkan syarikat-syarikat bermasalah yang mempunyai kaitan dengan parti pemerintah. Berita asal