Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS menjemput Pemuda PH Lembah Pantai untuk sama-sama menghadiri program anjuran parti itu bersama Umno yang membincangkan isu semasa di kawasan berkenaan malam ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat Kamaruzaman Mohamad, berkata pihaknya terbuka jika Pemuda PH kawasan berkenaan mempunyai sesuatu yang ingin disampaikan.

Jemputan itu dibuat selepas Pemuda PH Lembah Pantai membuat laporan polis susulan penyebaran poster hebahan program melibatkan Umno dan PAS di sebuah surau kawasan berkenaan.

"Saya jemput mereka datang sekali malam ini, sekiranya ada benda tak betul, mereka boleh tegur malam ni, tak perlu takut dengan program sampai nak buat laporan polis," katanya.

Bagaimanapun ditanya lanjut mengenai program tersebut, Kamaruzaman meminta Malaysiakini bertanya terus kepada penganjur.

Kata Kamaruzaman dia hanya dijemput untuk bercakap mengenai isu-isu semasa dalam negara.

"Saya rasa tak wajar mana-mana pihak menyekat, melainkan isu-isu yang disentuh yang jelas bertentangan dengan demokrasi dan perlembagaan negara dan boleh ambil tindakan," katanya.

Bukan bawah Jawi

Mendakwa sekarang "banyak" isu melibatkan kepentingan Islam dan Melayu harus dibincangkan, Kamaruzaman berkata, tempat yang sesuai untuk melakukan hal itu ialah di surau.

"Bincang di suraulah. Nak bincang di mana lagi? Kan itu tempat orang Islam berkumpul, saling berkomunikasi antara satu sama lain

"Jadi saya rasa tak wajarlah Pemuda PH untuk buat laporan polis,” katanya.

Muhammad Zulhafiz (dua dari kanan) selepas membuat laporan polis petang tadi

Terdahulu Pemuda PH Lembah Pantai bersama majlis perwakilan penduduk kawasan itu membuat tiga laporan polis berkaitan penganjuran program berkenaan di Balai Polis Jalan Travers.

Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai, Muhammad Zulhafiz Zulkifli, memberitahu Malaysiakini, tindakan tersebut bertentangan dengan titah salah seorang sultan yang tidak berkenan apabila masjid dan surau digunakan untuk aktiviti politik kepartian.

Merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Muhammad Zulhafiz berkata, melalui poster yang dilihatnya, program di surau tersebut bertajuk “Penerangan isu semasa: Kendurian Penyatuan Ummah”.

Selain Kamaruzaman, turut ditampilkan ialah Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Umno Lembah Pantai Ramlan Askolani.

Sementara itu, Kamaruzaman ketika diminta mengulas tindakan laporan polis dantitah Sultan Perak, beliau berkata: "Itu kena tanya penganjur kerana saya dimaklumkan surau tersebut bukan di bawah Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan)."

Lihat Komen
ADS