Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam persoal AGC minta Wan Ji dihukum lebih berat
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 5:24 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Peguam Syahredzan Johan mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang membuat rayuan bagi hukuman lebih berat dalam kes mahkamah melibatkan pendakwah Wan Ji Wan Hussin.

Kata Syahredzan, tindakan pendakwaan itu wajar dipersoalkan memandangkan ia bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang sedang menuju pemansuhan Akta Hasutan.

“Apa yang kita patut tanya adalah, kenapa pihak pendakwaan merayu untuk hukuman lebih berat, walhal polisi kerajaan adalah untuk menuju pemansuhan Akta Hasutan tersebut?

“Di samping itu, trend hukuman untuk Akta Hasutan ni tak sampai masuk penjara. Selalunya denda sahaja. Maka sebenarnya hukuman asal pun adalah keterlaluan. Kenapa pendakwaan nak lagi berat?” katanya dalam siri ciapan di Twitter.

Syahredzan berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Bagi Syahredzan yang juga merupakan setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri, keputusan mahkamah untuk membenarkan rayuan Asnawi juga adalah sesuatu yang “memeranjatkan”.

Justeru, Syahredzan menggesa kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan supaya tidak ada lagi rakyat yang akan dijadikan penjenayah bawah akta tersebut.

“Orang tanya, bila akta nak mansuh. Persoalan yang baik. Saya pun nak tahu. Tapi kalau pun esok Akta Hasutan mansuh, tidak dapat menolong Wan Ji. Sebab Wan Ji kena sabit masa Akta Hasutan masih berkuatkuasa - April 2018.

“Bukan sebab ia akan membantu Wan Ji, tetapi supaya rakyat kita tidak lagi dijadikan penjenayah sebab Akta Hasutan,” katanya.

Wan Ji dituduh menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membabitkan isu agama dalam akaun Facebook beliau di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam pada 5 November 2012.

Mengulas isu sama, Pengarah Lawyers For Liberty Melissa Sasidaran turut mempertikaikan hukuman penjara terhadap di bawah Akta Hasutan.

Menurutnya, ramai ahli politik yang memegang jawatan hari ini pernah ditindas di bawah akta berkenaan.

"Mengejutkan apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) berkeras untuk dakwaan ke atas Wan Ji di bawah Akta Hasutan, selain menambahkan tempoh hukuman penjara.

"Wan Ji dan ramai ahli politik yang memegang jawatan hari ini pernah ditindas oleh undang-undang ini, jadi kenapa AKta Hasutan tak dihapuskan?" katanya.

 

Sementara itu, penulis Faisal Tehrani (Mohd Faizal Musa) turut mengulas hukuman terhadap Wan Ji dengan membidas PH yang banyak menghukum orang yang “bekerja kuat untuk mereka dari awal”.

“Kerajaan PH menganugerahkan ramai orang BN atau bekas BN (baru jadi PH) dan hukum orang yang bekerja kuat untuk mereka dari awal,” ciapnya ringkas di Twitternya.

Wan Ji ialah anggota PKR dan bekas penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini Lim Guan Eng.

 

Lihat Komen
ADS