Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ubat bagi wanita tak boleh beranak, kami tak mahu, kata Orang Asli

Orang Asli daripada lima buah kampung di Gerik dan Sungai Petani menggesa kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menghentikan tindakan memberi ubat perancang kepada masyarakat itu.

Wakil jurucakap Orang Asli dari Kampung Sungai Papan, Gerik, Anjang Aluej berkata, meskipun mereka dimaklumkan berkaitan ubat itu namun ia tidak dijelaskan dengan maklumat lanjut berkaitan kesan pengambilan ubat tersebut.

“Pil perancang daripada pihak hospital memberi kepada ibu orang Asli kami menentang perkara itu.

“Masalah perancang contoh bagi wanita tidak boleh beranak. Kami tak mahu.

“Mereka bagitahu ubat perancang cuma mereka tidak memberi kenyataan yang detail mengenai ubat perancang itu. Orang Asli mahu perkara ini dihentikan.,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Anjang juga melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengacau adat kaum mereka termasuk pengislaman tanpa izin.

“Antara pihak orang Asli ingin selesaikan adalah isu pengislaman tanpa izin, termasuk pendakwah Kristian juga, mesej kami adalah jangan kacau adat kami,” katanya.

Anjang bersama 40 Orang Asli lain tiba di Parlimen hari ini untuk menghantar memorandum menuntut pengiktirafan tanah adat, menghormati adat istiadat mereka dan mengangkat orang asli dikedudukan yang sewajarnya.

Anjang berkata, memorandum yang mengandungi tiga perkara utama itu mahu diserahkan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan hak masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Anjang juga berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pihak berwajib mendengar keluhan mereka.

Terdahulu semua mereka mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Anjang turut berkata memorandum itu telah diserahkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Profesor Dr Juli Edo untuk tindakan lanjut.

Sementara itu menurut Juli memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy sebelum diserahkan kepada Dr Mahathir.

"Ini kemahuan sejagat sebenarnya, bukan orang asli sahaja semua masyarakat mahukan perkara yang sama cuma belum dapat iaitu pembangunan kepada mereka.

"Jadi kita akan angkat memorandum ini dan hari ini memorandum itu saya akan serah kepada Moorthy sebelum beliau serah kepada PM," katanya.

Lihat Komen
ADS