Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan ratu transgender dalam CCM ikut prosedur

Kerajaan akan memberi penjelasan mengenai pelantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina, sebagai anggota jawatankuasa Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya perlu mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelantikan tersebut sebelum memberikan ulasan lanjut.

“Saya akan dapatkan laporan dengan lebih teliti dan tepat untuk itu (laporan tersebut) hari ini, (buat masa ini) saya belum boleh buat apa-apa komentar lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Latihan Simulasi & Kemahiran Hospital Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, sepucuk surat dari Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berhubung pelantikan Rania Zara menjadi tular.

Pelantikan itu dibuat bagi mewakili kumpulan transgender dalam CCM Malaysia untuk penggal 2019/2021.

Surat bertarikh 25 Jun tersebut turut dikongsi di laman sosial Facebook Rania Zara. Menerusi surat itu dia memaklumkan sudah memulakan tugas sejak 1 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat pascakabinet peringkat Kementerian Kesihatan untuk dibincangkan dan diberikan penjelasan mengenainya.

“Tunggu apa yang mungkin saya keluarkan selepas dibincangkan dalam mesyuarat pascakabinet," katanya.

Sementara itu Lee berkata pelantikan Rania Zara dibuat mengikut prosedur sedia ada.

Dr Lee Boon Chye

Katanya CCM Malaysia ditubuhkan melalui keputusan jemaah menteri pada 2009, bertujuan menangani isu HIV dan Aids melalui sumbangan dari Global Fund.

Untuk keperluan Global Fund, kata Lee, seramai 25 anggota CCM dilantik bagi mewakili pemegang taruh, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil populasi sasar.

"Populasi sasar itu termasuk transgender, pekerja seks wanita, men-sex-with-men, orang yang menggunakan dadah dan orang yang hidup bersama HIV/Aids," katanya.

Menurut Lee, fungsi CCM ialah untuk mengawal HIV dan Aids daripada merebak, sejajar dengan pelan strategik nasional untuk menangani wabak itu.

Lihat Komen
ADS