Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hari ke-35: Jaminan pinjaman kedua SRC tak melalui ketua setiausaha perbendaharaan

LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-35 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan itu.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan



6 petang - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid.

Jika anda suka apa yang kami lakukan, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini versi bahasa Inggeris serendah RM0.55 sehari. Butiran di sini.


4.40 petang - Hadirin ketawa apabila hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta pembelaan menyimpulkan pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi Kumpulan Dana Persaraaan Diperbadankan (KWAP), Wan Abdul Aziz Wan Abdullah "lebih awal sebelum makan tengahari."

Hakim berkata demikian sebagai reaksi terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah yang sebelumnya meyakinkan mahkamah bahawa pihak pembela tidak akan mengambil banyak waktu untuk memeriksa balas saksi ke-45.

Ketika timbalan pendakwa raya Ishak Mohd Yusoff meminta pihak pembelaan untuk menganggarkan masa yang mereka perlukan, Nazlan mengulangi "Jauh lebih awal sebelum makan tengah hari."

Ini mengundang ketawa hadirin sekali lagi.

Nazlan kemudian membenarkan permohonan pihak pembela untuk memendekkan prosiding hari ini bagi membolehkan merekan menyusun strategi untuk pemeriksaan balas Aziz, yang akan melibatkan pihak pembelaan mengambil arahan daripada Najib.

Perbicaraan disambung semula pukul 9 pagi esok.


4.30 petang - Mahkamah mendengar daripada Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bahawa memorandum bagi jaminan pinjaman kedua SRC International tidak melaluinya pada 2012.

Wan Abdul Aziz, ketua setiausaha perbendaharaan pada masa itu, memberi keterangan bahawa dia hanya mendengar tentang jaminan kerajaan kedua syarikat itu selepas menerima kelulusan kabinet.

Untuk rekod, kabinet meluluskan jaminan kerajaan kedua untuk pinjaman RM2 bilion kepada SRC International pada bulan Februari 2012.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam pertahanan Farhan Read, Wan Abdul Aziz berkata memo yang disediakan oleh Kementerian Kewangan telah disahkan oleh timbalannya ketika itu, Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ia kemudian dibawa ke Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah, dan kemudian kepada perdana menteri Najib Razak untuk diluluskan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.

"Tetapi memo ini tidak diberi salinan kepada saya. Tidak ada 'salinan kepada'," katanya kepada mahkamah apabila ditanya oleh Farhan jika dia sedar tentangnya walaupun dia tidak menandatangani dokumen tersebut.

"Ia tidak sampai ke meja saya," katanya.


'Najib tak kata apa lepas dimaklum keputusan KWAP'

2.57 petang: Najib Razak tidak berkata apa-apa ketika dimaklumkan KWAP memutuskan untuk memberi pinjaman RM1 bilion saja kepada SRC, bukannya RM3.95 bilion seperti yang diminta syarikat itu, kata Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Bekas pengerusi KWAP itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Farhan Read.

Saksi ke-45 itu berkata, dia dan CEO KWAP ketika itu Azian Md Noh kemudian bertemu Najib di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 2011 untuk memaklumkan keputusan panel pelaburan KWAP itu.

Farhan: Anda sampaikan maklumat (keputusan panel) kepada Najib, dan dia tak kata apa-apa?

Aziz: Ya (setuju).

Farhan: Itu bukan pertemuan rasmi, tetapi anda hanya pergi untuk berjumpanya?

Aziz: Ya.

Farhan: Anda setuju yang selepas memaklumkan keputusan panel pelaburan, Najib nampak biasa (fine)?

Aziz: Dia (Najib) tidak kata apa-apa.

KWAP dilaporkan setuju kemudiannya untuk menambah pinjaman kepada RM2 bilion untuk SRC International, sebelum meminjamkan RM2 bilion lagi pada awal 2012.


2.42 petang: Perbicaraan bersambung semula dengan pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.


12.55 tengah hari: Perbicaraan berhenti untuk rehat tengah hari dan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang.


Saksi: Walau dengan surat PM, permohonan pinjaman kena ikut prosedur biasa

12.36 tengah hari: "Tak kira bagaimana atau bila permintaan dibuat, kita tetap perlui lalui proses biasa."

Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata demkian ketika menjawab soalan peguam Farhan Read.

Soalan itu berkenaan sama ada saksi ke-45 itu menganggap surat SRC International kepada Najib pada 2011, yang pada mulanya memohon pinjaman RM3.95 bilion, adalah satu arahan daripada bekas perdana menteri.

Terdahulu mahkamah diberitahu surat tersebut berserta tulisan Najib yang menyatakan persetujuannya terhadap permohonan itu.


Saksi perlu rehat, kata hakim pada peguam

11.05 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberitahu peguam Farhan Read bahawa saksi perlu rehat, ketika sesi pemeriksaan balas dengan bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

"Saksi perlu rehat," katanya.

Ketika itu Farhan mengajukan soalan kepada Wan Abdul Aziz sejak pukul 10.44 pagi.

Respons Farhan kemudian membuatkan mereka dalam mahkamah ketawa apabila dia berkata kepada saksi, "Kita biasanya rehat pada pukul sebelas pagi."

Terdahulu, mahkamah diberitahu keadaan kesihatan Wan Abdul Aziz, yang juga bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan, tidak begitu baik.

Perbicaraan kemudian dihentikan sebelum bersambung semula pada pukul 11.26 pagi.


Saksi: Najib telefon suruh beri pinjaman lebih awal

10.30 pagi: Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata dia menerima panggilan daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak untuk mengagihkan pinjaman RM2 bilion kedua kepada SRC International sebelum jaminan kerajaan dikeluarkan pada awal 2012.

Ketika pemeriksaan balas dengan DPP Suhaimi Ibrahim, saksi ke-45 itu berkata itulah sebabnya KWAP melanggar amalan biasanya dan memberikan pinjaman lebih awal.

"Jaminan kerajaan diluluskan sebelum itu oleh kabinet.

"Cuma sementara tunggu proses pengeluaran (surat jaminan), saya terima panggilan daripada Najib untuk Kementerian Kewangan keluarkan surat kepada KWAP bagi pembayaran awal (pinjaman RM2 bilion) seperti diminta (SRC International).

"Ia kemudian disusuli jaminan kerajaan secepat mungkin.

"Tarikh (panggilan Najib) tak berapa ingat. Tapi Najib suruh buat early disbursement (pembayaran awal). Jadi Maliami Hamad (timbalan ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu) keluarkan surat pada 28 Mac 2012," katanya lagi.


Saksi: Najib minta gandakan pinjaman pada SRC

10 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa selepas permintaan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) meluluskan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International pada 2011, bukan RM1 bilion seperti yang diputuskan oleh panel pelaburan pada mulanya.

Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dalam keterangannya berkata Najib menyatakan permintaan itu kepadanya dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, sekitar 2011.

Sebelum pertemuan itu, kata Wan Abdul Aziz, dia dan CEO KWAP ketika itu Azian Mohd Noh telah berjumpa Najib untuk memaklumkan keputusan panel pelaburan untuk memberi RM1 bilion sahaja kepada SRC International.

"Selepas itu, pernah sekali ketika berjumpa Najib di Pejabat Perdana Menteri untuk tugas rasmi Kementerian Kewangan, Najib telah meminta saya percepatkan kelulusan permohonan pinjaman SRC dengan KWAP.

"Beliau berkata pinjaman RM2 bilion adalah memadai, bukan RM1 bilion. Perjumpaan ini hanya melibatkan kami berdua saja di pejabat PM. Saya tak ingat tarikh sebenar pertemuan itu dan tak buat sebarang catatan berkenaan arahan diberi Najib," katanya yang juga bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan.

Menurutnya, permintaan itu kemudian disampaikan kepada panel pelaburan KWAP dalam satu mersyuarat khas pada 19 Julai 2011.

"Saya juga ingin nyatakan bahawa jika tiada komunikasi (dari) Najib kepada saya berkenaan pinjaman SRC, panel pelaburan KWAP akan kekal (beri) pinjaman RM1 bilion sahaja seperti yang telah dipertimbangkan dan diluluskan mereka," katanya lagi.


Wan Abdul Aziz baca keterangan saksi

9.42 pagi: Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah tiba di mahkamah dan duduk di barisan depan.

Sementara itu saksi ke-45, bekas ketua setiausaha perbendaharaan dan bekas pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Wan Abdul Aziz Wan Abdullah membaca keterangan saksi ketika pemeriksaan utama dengan DPP Suhaimi Ibrahim.

Najib masuk kandang tertuduh

9.11 pagi: Perbicaraan bermula dan Najib Razak masuk ke kandang tertuduh.

Saksi ke-44 iaitu bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan Mat Noor Nawi mengecam Zahid Taib. Zahid ialah wakil 1MDB.

Selepas pengecaman, giliran saksi ke-45 bekas ketua setiausaha perbendaharaan Wan Abdul Aziz Wan Abdullah memberi keterangan.

Perbicaraan bermula dengan pasukan pembelaan diketuai Farhan Read memandangkan Muhammad Shafee Abdullah belum tiba di mahkamah.

Menurut anaknya, Muhammad Farhan, peguam itu sedang membuat persiapan lanjut untuk perbicaraan hari ini dan akan tiba tak lama lagi.


9.01 pagi: Tertuduh Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam, sementara menunggu perbicaraan bermula.

Turut dilihat ialah pasukan peguam belanya, serta Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaran dan pasukan pendakwaan yang lain.


Selepas mahkamah mendengar keterangan saksi ke-44 iaitu bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan Mat Noor Nawi semalam, perbicaraan hari ini dijangka dimulakan dengan bos lamanya, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Berkhidmat di Perbendaharaan ketika kerajaan mengeluarkan dua jaminan untuk pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion - antara awal 2011 hingga akhir 2012, keterangan Wan Abdul Aziz adalah penting untuk pendakwaan dan juga pembelaan.

Hari ini pihak pendakwaan bakal memulakan sesi pemeriksaan utama dengan Wan Abdul Aziz.

Antara yang menjadi tumpuan ialah responsnya terhadap keterangan saksi lain, termasuk dakwaan dia menjadi saluran kepada arahan daripada perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, iaitu Najib.

Arahan itu mengarahkan Kementerian Kewangan mempercepat permohonan SRC International untuk mendapatkan jaminan kerajaan.

Lihat Komen
ADS