Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Aktivis berhimpun depan Penjara Kajang tuntut pembebasan Wan Ji

Susulan bermulanya hukuman penjara terhadap Wan Ji Wan Hussin di Penjara Kajang semalam, sekumpulan aktivis berhimpun secara aman di luar bangunan penjara untuk menuntut pembebasan pendakwah bebas itu dan pemansuhan Akta Hasutan, malam tadi.

Kira-kira 30 orang berkumpul bermula jam 8.40 malam, memegang lilin putih sambil melaungkan, "Bebas Wan Ji!" dan "Mansuh Akta Hasutan".

“Malam ni, kami sedih dan kecewa. Kebebasan bersuara sangat penting dan wajar dipertahankan oleh rakyat dan masyarakat kita,” kata pengarah eksekutif Saudara.org Lim Hong Siang, yang merupakan rakan kepada Wan Ji.

Wan Ji ialah anggota PKR dan bekas penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini Lim Guan Eng. Kini, dia adalah pengarah akademik di Saudara.org, sebuah pusat pengajian yang menumpukan bidang sosio-budaya dan keagamaan di Malaysia.

“Kami semua tahu Wan Ji ini seorang yang mempunyai idea-idea pelilk. Ideanya ada masanya progresif, ada masanya (dianggap) terlalu berlebihan untuk diterima masyarakat,” kata Lim.

Bagaimanapun, beliau berkata perbezaan dan kepelbagaian pendapat adalah perkara biasa dalam masyarakat dan perkara itu dapat menggerakkan masyarakat ke hadapan selain menyumbang kepada pembangunan sosial dengan idea-idea baru.

“Harapan saya, satu hari nanti tiada orang akan didenda, dihukum atau dipenjara hanya kerana dia mempunyai idea yang tak disenangi oleh orang lain,” katanya lagi.

Pada 2014, Wan Ji dihadapkan ke mahkamah berikutan satu hantaran Facebook yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dua tahun sebelumnya.

Wan Ji Wan Hussin

Dia disabitkan bersalah pada April 2018 dan dihukum penjara sembilan bulan, namun diberikan penangguhan sementara menunggu rayuan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji dan menambah hukuman penjaranya kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Beberapa aktivis pelajar, aktivis sosial dari Suaram dan Bersih, beberapa pemimpin dari PSM turut hadir di perhimpunan malam tadi.

Sementara itu Pengerusi Bersih Thomas Fann mendesak Pakatan Harapan (PH) untuk mengotakan janjinya agar undang-undang yang dilihat zalim seperti Akta Hasutan dimansuhkan segera.

“Akta Hasutan ialah undang-undang penjajah drakonian yang digunakan untuk mengekang kebebasan bersuara dan selalunya digunakan kerajaan sebagai alat untuk mendiamkan suara rakyat.

“PH dilihat tak membuat sebarang usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan ini dan menjunjung kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selepas menyanyikan lagu bertemakan kebebasan, himpunan kecil itu besurai secara aman pada jam sepuluh malam. 

Lihat Komen
ADS